Pelakon Lydia Ibtisam dilaporkan meninggal dunia pada kira-kira jam 4 petang hari ini selepas berdepan komplikasi kesihatan akibat penyakit autoimun yang dialaminya.
Perkara itu dimaklumkan pelakon, Elliza Razak menerusi hantaran di media sosial selepas menerima maklumat daripada suami Lydia, Ezam.
“Lydia Ibtisam telah kembali ke rahmatullah pada jam sekitar 4 petang. Buat masa sekarang info itu sahaja yang saya dapat daripada suaminya (Ezam),” katanya.
Elliza turut memohon orang ramai menghadiahkan bacaan Al-Fatihah serta mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga.
Baca juga:
- ‘Sungguh menyakitkan hati’ – Ito Blues Gang persoal royalti diterima
- Caprice akui perjuangan kes Ebit Lew belum berakhir, sedia tempuh tiga tahun lagi
- Bekas peserta progam realiti dipenjara 10 hari, gagal bayar RM108,200

Terdahulu, Elliza memaklumkan Lydia berada dalam keadaan kritikal di hospital dan meminta orang ramai mendoakan agar pelakon itu diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.
Menurut Elliza, Lydia yang pernah bekerjasama dengannya menerusi drama Impian Illyana mengalami komplikasi kesihatan selepas penyakit autoimun yang dihidapinya hampir lapan tahun mula menyerang organ dalaman.
Allahyarhamah Lydia Ibtisam atau nama sebenarnya Nur Ibtisam Abdul Wahab dikenali menerusi beberapa karya lakonan tempatan termasuk drama Impian Illyana.









