Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan premis penyembelihan ayam di Puchong yang diserbu pada 30 Oktober lalu tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) mahupun perakuan penyembelih yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semakan mendapati premis berkenaan juga tidak mempunyai sebarang rekod permohonan pensijilan halal, selain tiada papan tanda atau maklumat perniagaan yang boleh digunakan untuk mengenal pasti syarikat yang menjalankan operasi.
Menurutnya, serbuan di Lot 35, Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Hilir itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan pasukan penguatkuasaan khas halal JAIS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Jabatan Alam Sekitar.
“Semasa serbuan dilakukan, terdapat 12 orang dipercayai pekerja warganegara Bangladesh dan Pakistan, tanpa ada pekerja warganegara Malaysia.
“Pekerja Bangladesh dan Pakistan ini dipercayai melakukan penyembelihan ayam secara tidak patuh syarak iaitu melakukan sembelihan selepas ayam tersebut mati melalui proses renjatan air berarus elektrik melebihi kadar voltan yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Shahzihan berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada individu yang ditangkap, operasi di premis terbabit dipercayai dijalankan oleh lebih daripada satu syarikat atau entiti.
Bagaimanapun, JAIS masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik sebenar premis serta syarikat yang didaftarkan melalui maklumat daripada Pejabat Daerah dan Tanah.
Sehubungan itu, pihaknya belum dapat mendedahkan identiti individu atau syarikat yang terlibat sehingga memperoleh maklumat yang sahih.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Seksyen 121F Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Dalam masa sama, JAIS menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
JAIS turut mengingatkan pengusaha restoran, penyedia makanan bermasak serta masyarakat Islam supaya mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal yang mempunyai pensijilan halal dan tauliah penyembelihan yang sah bagi memastikan pematuhan hukum syarak.








