Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Confidence and Supply Agreement (CSA) sebagai pendekatan yang mempunyai sifat-sifat Dajjal pada akhir zaman kerana didakwanya menjadikan kuasa sebagai alat untuk terus memerintah.
Menurut beliau, kuasa pemerintahan sepatutnya dianggap sebagai amanah yang wajib ditunaikan kepada seluruh rakyat, bukannya digunakan untuk mendapatkan sokongan politik melalui perjanjian tertentu.
“CSA adalah pendekatan Dajjal pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa.
“Walaupun tidak berlagak menjadi tuhan laksana Dajjal yang besar, tetapi tetap melaksanakan sifat-sifat Dajjal,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS bertajuk ‘Tempias Dajjal Sudah Tiba’.
CSA bentuk persetujuan politik
Abdul Hadi menjelaskan, CSA merupakan satu bentuk persetujuan politik di Parlimen yang membolehkan blok pembangkang atau Ahli Parlimen Bebas memberikan sokongan bersyarat kepada kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk berlaku adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira kecenderungan atau sokongan politik mereka.
Katanya, hasil negara termasuk kutipan pelbagai jenis cukai merupakan hak seluruh rakyat dan manfaatnya wajib dikembalikan kepada semua pihak, sama ada mereka mengundi parti kerajaan mahupun pembangkang.
“Mana-mana parti yang menjadi kerajaan wajib menunaikan amanah kepada rakyat secara langsung tanpa perlu membuat aku janji terlebih dahulu,” tegasnya.
Dalam tulisan sama, Abdul Hadi turut mengingatkan bahawa antara tanda akhir zaman ialah apabila amanah diabaikan, khususnya dalam urusan kepimpinan dan pemerintahan.
Beliau merujuk hadis riwayat al-Bukhari yang menjelaskan bahawa antara tanda hilangnya amanah ialah apabila sesuatu urusan diserahkan kepada individu yang tidak layak.
Menurutnya, amanah kepimpinan tidak seharusnya dijadikan peluang untuk memperoleh keuntungan atau kepentingan duniawi, sebaliknya perlu dilaksanakan berlandaskan keadilan dan tanggungjawab.
Beliau turut menekankan tuntutan Islam supaya pemimpin berlaku adil kepada semua pihak, termasuk mereka yang mempunyai perbezaan pandangan atau dianggap sebagai musuh.








