‘Emcee hebat tahu jaga maruah’ – Pengasas Bawal Exclusive puji Fedtri Yahya | The Reporter

‘Emcee hebat tahu jaga maruah’ – Pengasas Bawal Exclusive puji Fedtri Yahya

Pengasas Bawal Exclusive Haliza Maysuri berkongsi pengalaman mengenai profesionalisme pengacara Fedtri Yahya.
Pengasas Bawal Exclusive Haliza Maysuri berkongsi pengalaman mengenai profesionalisme pengacara Fedtri Yahya. Gambar: TikTok Haliza Maysuri

Di sebalik isu tular seorang wanita yang meluahkan rasa kecewa terhadap pengacara majlis (emcee) perkahwinannya kerana didakwa mengkritik majlis tersebut, pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri berkongsi pengalaman berbeza mengenai profesionalisme pengacara terkenal, Fedtri Yahya.

Menerusi perkongsian di media sosial, Haliza mengimbau kejadian pada 2011 apabila Fedtri berjaya menyelamatkan keadaan selepas suaminya, Rosli atau lebih dikenali sebagai Tok Bawal, tiba-tiba tergagap-gagap ketika menyampaikan ucapan dalam sebuah majlis penting.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika Bawal Exclusive buat pertama kali mengadakan majlis kerjasama bersama Swarovski yang turut dihadiri pengurus syarikat berkenaan dari Asia Selatan sebagai tetamu kehormat.

Rosli yang tidak biasa berucap di hadapan orang ramai pada mulanya berjaya menyampaikan ucapan menggunakan skrip, namun secara tiba-tiba menjadi kaku dan tidak mampu meneruskan kata-kata.

Menyedari situasi itu, Fedtri yang bertindak sebagai pengacara majlis segera mengambil alih keadaan dengan penuh profesional tanpa membiarkan suaminya terus berada dalam keadaan serba salah.

“Beliau bijak menyelamatkan situasi dengan mengatakan bahawa Encik Rosli begitu nervous dan teruja kerana menerima kunjungan daripada pihak Swarovski.

“Beliau bukan sahaja menyelamatkan keadaan, malah mengangkat martabat suami saya sebagai tuan rumah.

“Tidak ada sindiran, tidak ada gelak yang memalukan. Semuanya dikendalikan dengan begitu cantik sehingga tetamu pun tidak terasa ada sesuatu yang tidak kena,” kongsinya.

Fedtri jaga maruah dan air muka

Haliza berkata, tindakan Fedtri menjaga maruah dan air muka suaminya meninggalkan kesan mendalam sehingga beliau berjanji untuk menjemput pengacara itu mengendalikan majlis perkahwinan anak-anaknya suatu hari nanti.

Janji tersebut akhirnya ditunaikan apabila Fedtri diberi kepercayaan mengacarakan majlis persandingan anak sulungnya yang bertemakan tradisional.

Malah, beliau sekali lagi menjemput Fedtri mengendalikan majlis akad nikah anak perempuannya baru-baru ini.

“Bukan kerana saya tak kenal MC lain. Tetapi kerana saya pernah melihat sendiri bagaimana beliau menjaga maruah dan air muka tuan rumah ketika berdepan situasi yang tidak dijangka.

“Bagi saya, MC yang hebat bukan sekadar pandai bercakap, menghiburkan tetamu atau mengikut skrip. MC yang benar-benar profesional ialah orang yang tahu menyelamatkan keadaan tanpa menjatuhkan maruah sesiapa,” katanya.

Fedtri beri respon

Sementara itu, Fedtri turut memberikan respons terhadap perkongsian berkenaan dengan mengakui dirinya sebak mengenangkan detik tersebut.

“Allahu… Saya pun sebak dengar ucapan suami Puan waktu tu… Allah membalas segala kepedihan lalu dengan nikmat tak terduga,” balasnya.

Terdahulu, tular luahan seorang pengantin wanita menerusi Threads yang mendakwa berasa terhina selepas membaca beberapa hantaran Instagram Story pengacara majlis perkahwinannya yang disifatkan memperlekehkan konsep dan perjalanan majlis tersebut.

Pengacara berkenaan kemudiannya tampil memohon maaf serta mengakui pemilihan perkataan, perbandingan dan gurauannya tidak sensitif sehingga mengguris perasaan pasangan pengantin.

Related Posts