Kegembiraan seorang bakal graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk meraikan kejayaan menamatkan pengajian bertukar menjadi duka apabila kedua-dua ibu bapanya terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak.
Lebih memilukan, Husna Syakira Abd Halim dijadualkan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen UMK Ke-16 yang berlangsung pada 3 November 2026, hanya sehari selepas kenyataan mengenai tragedi itu dikeluarkan.
Husna Syakira merupakan bakal graduan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) dalam program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) dengan Kepujian.
Susulan kejadian itu, UMK menerusi kenyataan rasmi pada Isnin merakamkan ucapan takziah dan menzahirkan rasa dukacita mendalam atas kehilangan yang menimpa bakal graduannya itu.
Menurut kenyataan tersebut, pihak universiti segera menggerakkan pasukan pegawai daripada Bahagian Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Pegawai Psikologi ke Hospital Gerik.
Langkah itu bertujuan memberikan sokongan kebajikan kepada keluarga mangsa, selain membantu urusan dokumentasi dan menyelaras keperluan berkaitan.
Sebagai tanda keprihatinan, UMK turut menyediakan kemudahan van jenazah bagi menguruskan penghantaran pulang jenazah kedua-dua ibu bapa Husna Syakira ke kediaman rasmi keluarga.
Dalam pada itu, pihak universiti memaklumkan bahawa mereka masih menunggu hasil siasatan lanjut daripada polis dan Hospital Gerik bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
UMK turut menyeru orang ramai supaya menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi menjaga sensitiviti keluarga serta kelancaran siasatan.
Pihak universiti turut memberi jaminan akan terus menyalurkan sokongan dan bantuan kebajikan kepada Husna Syakira serta keluarganya dalam menghadapi saat sukar berkenaan.








