Zahirah MacWilson mohon maaf, akui kesilapan sentuh isu agama | The Reporter

Zahirah MacWilson mohon maaf, akui kesilapan sentuh isu agama

Pelakon Zahirah MacWilson tampil memohon maaf susulan kontroversi hantaran Instagram Story berkaitan sambutan keagamaan.
Pelakon Zahirah MacWilson tampil memohon maaf susulan kontroversi hantaran Instagram Story berkaitan sambutan keagamaan.

Pelakon, Zahirah MacWilson tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan hantaran di Instagram Story miliknya yang menyentuh sambutan Halloween, Krismas dan Easter sehingga menyinggung perasaan masyarakat Kristian.

Menerusi satu hantaran video di Instagram, Zahirah menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk mengaitkan sambutan keagamaan seperti Krismas dan Easter dengan unsur sebaliknya.

Hantaran sudah dipadam

Menurutnya, hantaran tersebut telah dipadam tidak lama selepas dimuat naik apabila beliau menerima beberapa mesej peribadi daripada individu yang meluahkan rasa tersinggung.

“Tidak sampai sejam selepas memuat naik hantaran itu semalam, saya menerima satu atau dua mesej peribadi dan terus memadamnya kerana menyedari ia telah menyinggung perasaan orang lain.

“Saya secara cuai telah menggabungkan tiga sambutan berbeza dalam satu kenyataan. Saya ingin menjelaskan bahawa saya sama sekali tidak berniat melabel perayaan suci seperti Krismas dan Easter sebagai sesuatu yang bersifat syaitan atau iblis,” katanya.

Zahirah turut mengakui bahawa kenyataannya sebelum ini tidak tepat, kurang sensitif terhadap kepelbagaian budaya dan agama serta tidak sepatutnya dikeluarkan.

Beliau berkata, sebagai seorang figura awam, dirinya seharusnya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan, khususnya yang melibatkan soal kepercayaan, agama dan tradisi masyarakat.

“Saya amat menghormati kepelbagaian budaya, agama dan kepercayaan yang menjadikan masyarakat kita begitu indah.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah diperkatakan dan benar-benar memohon maaf atas kejahilan saya,” ujarnya.

Sedia terima teguran

Dalam pada itu, Zahirah menegaskan bahawa beliau bersedia menerima teguran, mendengar pandangan serta memperbaiki diri agar kesilapan sama tidak berulang.

“Saya berterima kasih kepada semua yang telah menegur dan menghantar mesej kepada saya, sama ada positif mahupun negatif.

“Sekali lagi, saya benar-benar memohon maaf atas kenyataan tersebut dan kejadian ini menjadi satu pengajaran besar buat saya,” katanya.

Related Posts