Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi respons terhadap teguran berhubung kehadirannya ke persembahan Datuk Siti Nurhaliza dengan mengakui beliau turut meminati muzik dalam pelbagai bahasa.
Menurut Anwar, beliau hadir atas permintaan penyanyi berkenaan serta suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, yang dikenali sebagai Datuk K.
“Saya pergi kerana Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk K, mohon sangat-sangat saya hadir,” katanya.
Anwar turut menyentuh pengisian persembahan berkenaan yang mengetengahkan unsur kebudayaan termasuk wayang kulit, tarian tradisional serta persembahan dari Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, pengisian seumpama itu memperkasa budaya Melayu selain membangkitkan kebanggaan terhadap kekayaan warisan seni dan budaya.
Mengulas teguran yang diterima, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menegurnya, sambil berseloroh mengenai minatnya terhadap lagu.
“Tapi untuk itu ditegur oleh beberapa orang. Terima kasihlah. Kerana yang tegur itu yang warak-warak, tak pernah dengar lagu.
“Saya ni adalah kelemahan saya kerana minat juga lagu. Bukan saja lagu Melayu, Inggeris, Hindustan pun saya minat, insya-Allah,” katanya








