'Digelar Menteri Tandas bukan masalah, janji rakyat dapat tandas bersih' - Nga Kor Ming | The Reporter

‘Digelar Menteri Tandas bukan masalah, janji rakyat dapat tandas bersih’ – Nga Kor Ming

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengulas gelaran Menteri Tandas dan pencapaian kebersihan tandas Petron Malaysia.
Gambar: Facebook Nga Kor Ming

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak kisah apabila dirinya pernah disindir dan digelar sebagai ‘Menteri Tandas’ selagi usaha meningkatkan tahap kebersihan tandas awam memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut beliau, perkara paling utama adalah memastikan rakyat dan pengguna jalan raya di seluruh negara dapat menikmati kemudahan tandas yang bersih, wangi dan selesa.

“Mungkin ada yang pernah menyindir atau menggelar saya ‘Menteri Tandas’.

“Namun bagi saya, itu tidak menjadi masalah janji rakyat dan pengguna jalan raya di Malaysia dapat menikmati kemudahan tandas yang bersih, wangi dan selesa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam hantaran sama, Kor Ming turut mengucapkan tahniah kepada Petron Malaysia selepas syarikat itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi bilangan tandas stesen minyak bertaraf empat dan lima bintang terbanyak di Malaysia.

Katanya, sebanyak 86 peratus daripada keseluruhan stesen minyak Petron memperoleh penarafan tandas empat atau lima bintang sepanjang tempoh penilaian MBOR pada 2025.

Bagaimanapun, pencapaian itu kini meningkat kepada 91 peratus daripada lebih 830 stesen minyak Petron di seluruh negara.

Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sesuatu yang membanggakan dan mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan serta pengusaha stesen minyak dalam meningkatkan tahap kebersihan kemudahan awam.

Sementara itu, Kor Ming memaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan Toilet of the Year Awards (TOTYA) 2026 di Pavilion Damansara Heights pada Rabu.

Menurutnya, dua daripada tiga finalis bagi kategori stesen minyak dalam anugerah berkenaan adalah daripada Petron.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Petron, termasuk pihak pengurusan, pengusaha stesen minyak dan khususnya pekerja pembersihan atas komitmen mereka memastikan kemudahan tandas sentiasa berada dalam keadaan baik.

Pada masa sama, Kor Ming menyeru semua pihak supaya bersama-sama menjaga kebersihan kemudahan awam demi keselesaan pengguna.

Related Posts