Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan pemberian rebat cukai khas sebanyak RM1,000 kepada rakyat Malaysia yang membeli alat penapis udara bagi mengurangkan kesan krisis jerebu yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, susulan keadaan jerebu yang didakwanya semakin membimbangkan sehingga menjejaskan kesihatan orang ramai, khususnya warga emas dan kanak-kanak.
Ringankan beban kewangan rakyat
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, pemberian rebat cukai berkenaan dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi melindungi kesihatan keluarga.
Menurutnya, permintaan tinggi terhadap alat penapis udara ketika ini turut menyebabkan bekalan di pasaran berkurangan, selain mendakwa harga peralatan berkenaan meningkat.
“Jika Malaysia enggan mengambil tindakan terhadap Indonesia bagi membantu rakyat yang terjejas akibat jerebu, kerajaan sepatutnya menawarkan rebat cukai khas sebanyak RM1,000 untuk pembelian alat penapis udara,” katanya.
Guan Eng menegaskan bahawa bantuan dicadangkan itu perlu diberikan dalam bentuk rebat cukai dan bukannya pelepasan cukai, bagi membantu menampung sebahagian kos tambahan yang terpaksa ditanggung rakyat.
Dalam masa sama, beliau mengkritik tindakan kerajaan Indonesia yang didakwanya masih belum mengisytiharkan krisis kebakaran hutan dan tanah sebagai bencana nasional walaupun keadaan semakin serius.
Beliau merujuk kenyataan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman, semalam yang dilaporkan memaklumkan bahawa bantuan asing, termasuk daripada Malaysia, hanya boleh dipertimbangkan selepas pengisytiharan bencana nasional dibuat.
Menurut Guan Eng, pendirian Indonesia yang masih yakin mampu menangani kebakaran menggunakan sumber sendiri menimbulkan persoalan mengenai kesediaan negara itu menerima kerjasama antarabangsa.
Beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap pendekatan kerajaan Malaysia, khususnya Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang didakwanya belum mengambil langkah lebih tegas dalam menangani isu jerebu rentas sempadan.
Antara cadangan yang dibangkitkan ialah penubuhan Pasukan Petugas Jerebu Rentas Sempadan ASEAN yang mempunyai petugas tetap daripada negara anggota bagi membolehkan operasi memadam kebakaran dilaksanakan dengan segera.
Guan Eng turut mempersoalkan kebergantungan kerajaan terhadap saluran diplomatik serta ketiadaan tindakan undang-undang terhadap Indonesia susulan krisis berkenaan.
Jerebu beri kesan kesihatan
Katanya, keadaan jerebu bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan rakyat, malah turut mengganggu sesi persekolahan kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan rebat cukai RM1,000 berkenaan sebagai langkah membantu rakyat menghadapi kos tambahan akibat krisis jerebu.








