PASTI Malaysia meminta seorang lelaki yang tular menari dengan memakai uniform institusi pendidikan itu supaya tampil memberikan penjelasan berhubung tindakannya yang mencetuskan perhatian masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan PASTI Malaysia, Damanhuri Dol berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penularan video memaparkan lelaki dewasa berkenaan sedang menari dalam sebuah majlis.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa majlis tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan PASTI di mana-mana peringkat, malah individu terbabit juga bukan sebahagian daripada organisasi berkenaan.
Menurutnya, PASTI Malaysia kini sedang berusaha mendapatkan maklumat mengenai lelaki tersebut bagi mengetahui tujuan sebenar dia memakai uniform PASTI ketika melakukan aksi berkenaan.
Sehubungan itu, pihaknya berharap individu terbabit segera menghubungi PASTI Malaysia bagi memberikan penjelasan supaya isu tersebut dapat diselesaikan secara harmoni tanpa menjejaskan nama baik mana-mana pihak.
Dalam masa sama, Damanhuri turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan berkenaan kerana disifatkan tidak mencerminkan visi dan misi PASTI dalam melahirkan generasi soleh murabbi.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya lebih rasional dalam setiap tindakan, khususnya apabila melibatkan imej institusi pendidikan Islam.
“Sekiranya pihak kami mendapati perkara ini berulang atau ia suatu tindakan provokatif yang sengaja dilakukan, maka PASTI Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan bagi menjaga nama baik institusi PASTI,” tegasnya.
PASTI Malaysia turut berharap kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan demi memelihara reputasi serta nilai pendidikan Islam yang diterapkan institusi berkenaan.








