Rakyat Thailand digesa menyediakan beg kecemasan yang mengandungi bekalan makanan, air minuman, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas mencukupi sekurang-kurangnya 72 jam sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang situasi kecemasan.
Saranan itu dikeluarkan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) susulan kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik global, termasuk konflik di Asia Barat, selain risiko bencana alam yang boleh berlaku tanpa diduga.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Thailand menegaskan langkah tersebut merupakan panduan kesiapsiagaan umum dan bukannya amaran mengenai ancaman keselamatan atau peperangan yang bakal berlaku di negara itu.
Menurut DDPM, penyediaan beg kecemasan penting bagi memastikan setiap isi rumah mempunyai bekalan asas untuk meneruskan kehidupan sekurang-kurangnya tiga hari sekiranya berlaku bencana atau gangguan terhadap perkhidmatan penting.
Antara barangan yang disarankan termasuk makanan tahan lama, air minuman, ubat-ubatan peribadi, kit pertolongan cemas, lampu suluh, peralatan komunikasi, pakaian serta dokumen penting.
Setiap individu turut disarankan menyediakan bekalan air minuman kira-kira tiga liter sehari bagi memastikan keperluan asas mencukupi sepanjang tempoh kecemasan.
Langkah berkenaan juga bertujuan memudahkan proses pemindahan sekiranya penduduk diarahkan meninggalkan kediaman akibat banjir, kebakaran atau bencana lain.
Ketua Pengarah DDPM, Nirat Pongsitthithavorn berkata, tempoh 72 jam pertama selepas sesuatu bencana dianggap paling kritikal kerana mangsa mungkin perlu bergantung kepada bekalan sendiri sementara menunggu bantuan pihak berkuasa tiba.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan beg yang ringan, kalis air dan mudah dicapai, selain memeriksa keadaan barangan serta tarikh luput bekalan secara berkala.
Dalam pada itu, DDPM memaklumkan pihaknya turut memperkukuh kesiapsiagaan melalui penyediaan pasukan tindak balas kecemasan, peralatan menyelamat dan sistem amaran awal termasuk teknologi Cell Broadcast.
Agensi berkenaan juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera sekiranya berlaku sebarang kecemasan.








