Angka korban perlanggaran dua tren laju di Sepanyol meningkat kepada 68 orang | The Reporter

Angka korban perlanggaran dua tren laju di Sepanyol meningkat kepada 68 orang

Tragedi perlanggaran dua tren laju di Sepanyol yang mengorbankan sekurang-kurangnya 68 nyawa.
Tragedi perlanggaran dua tren laju di Sepanyol yang mengorbankan sekurang-kurangnya 68 nyawa. Gambar: Global Eye News

Angka korban dalam nahas perlanggaran dua tren laju berhampiran Urda, wilayah Toledo, Sepanyol, dilaporkan meningkat kepada sekurang-kurangnya 68 orang, manakala lebih 100 lagi mengalami kecederaan.

Kejadian yang berlaku pada Rabu itu melibatkan sebuah tren laju kendalian Renfe yang melanggar bahagian belakang tren Iryo yang sedang berhenti.

Nahas berkenaan berlaku kira-kira 130 kilometer di selatan Madrid, sekali gus mencetuskan operasi menyelamat besar-besaran oleh pasukan kecemasan tempatan.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa, puluhan mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, termasuk mereka yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Laporan AFP memaklumkan seramai 58 mangsa dibawa ke hospital, dengan 15 daripadanya berada dalam keadaan kritikal. Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan angka kematian terus meningkat.

Menteri Pengangkutan Sepanyol, Óscar Puente berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada keputusan membenarkan sebuah tren meneruskan perjalanan walaupun sistem kawalan automatik mengalami gangguan teknikal.

Menurut beliau, gangguan sistem berkenaan menyebabkan beberapa tren dihentikan sebelum pusat kawalan mengarahkan perjalanan disambung semula meskipun sistem keselamatan belum dipulihkan sepenuhnya.

Keputusan itu menyebabkan tren Renfe bergerak semula sebelum merempuh tren Iryo yang masih berada dalam keadaan berhenti di landasan.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa Sepanyol.

Difahamkan, kedua-dua tren berkenaan membawa keseluruhan 544 penumpang, masing-masing 397 orang dalam tren Renfe dan 147 orang menaiki tren Iryo.

Perlanggaran kuat itu turut menyebabkan beberapa gerabak tergelincir, dengan sebahagiannya terjatuh ke kawasan cerun berhampiran landasan.

https://twitter.com/MarioNawfal/status/2115484991089983910?a=utXwQaVTqx3FshKWD2M&s=20

Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban.

Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti sebarang kecuaian atau kelemahan sistem keselamatan yang mungkin menyumbang kepada tragedi tersebut.

Perdana Menteri zahir ucapan

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas kehilangan nyawa dalam tragedi perlanggaran tren di Sepanyol.

Beliau berkata, Malaysia bersolidariti bersama rakyat Sepanyol dalam menghadapi detik sukar itu, selain mendoakan agar mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera.

“Saya amat berdukacita atas kehilangan nyawa dalam tragedi perlanggaran tren di Sepanyol. Ingatan kami bersama semua yang kehilangan insan tersayang dan kami mendoakan agar mangsa yang cedera segera sembuh,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada anggota penyelamat dan semua pihak yang bertungkus-lumus menjalankan operasi di lokasi kejadian.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada Perdana Menteri Pedro Sánchez, kerajaan dan rakyat Sepanyol, khususnya keluarga mangsa,” katanya.

Related Posts