Kerajaan Indonesia tampil memberikan respons terhadap teguran Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan yang menggunakan bahasa Jawa ketika menyampaikan pesanan kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berhubung masalah jerebu rentas sempadan.
Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Sugiono berkata, pihaknya memahami kebimbangan yang disuarakan Malaysia memandangkan rakyat Indonesia sendiri turut menerima kesan langsung akibat kebakaran hutan dan tanah.
Kesan langsung
Menurutnya, masyarakat Indonesia merupakan antara pihak pertama yang terjejas akibat kebakaran berkenaan sebelum asapnya merebak ke negara jiran.
“Kami memahami perkara itu kerana sebagai sebuah negara, kami sendiri turut merasakan kesan langsung daripada kebakaran hutan dan tanah ini.
“Saya fikir apa yang dirasai negara jiran sebenarnya terlebih dahulu dirasai oleh kami,” katanya.
Rakam penghargaan
Sugiono turut merakamkan penghargaan terhadap kesediaan negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura yang menawarkan bantuan bagi menangani kebakaran hutan di Indonesia.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa Indonesia ketika ini masih mempunyai sumber dan keupayaan mencukupi untuk melaksanakan operasi pemadaman tanpa memerlukan bantuan luar.
Katanya, sebarang keputusan untuk menerima bantuan asing akan dibuat berdasarkan keperluan sebenar di lapangan, selain mengambil kira penilaian teknikal agensi berkaitan.
Beliau turut memaklumkan bahawa komunikasi dan penyelarasan bersama negara jiran terus dilaksanakan melalui saluran diplomatik, hubungan antara ketua negara serta kerjasama teknikal melibatkan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).
Terdahulu, Kalam ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat pada Rabu, menggesa Prabowo mengambil tindakan segera bagi menangani kebakaran hutan dan tanah gambut yang menyebabkan masalah jerebu berulang.
Beliau turut mencuri perhatian apabila menyampaikan sebahagian pesanan tersebut dalam bahasa Jawa bagi memastikan tegurannya difahami kepimpinan Indonesia.
“Pak Prabowo, tolonglah ambil tindakan segera, padamkan api, hentikan kebakaran dan pastikan masalah ini tidak berulang setiap tahun.
“Kita nak langit yang cerah, udara bersih dan rakyat kedua-dua negara dapat hidup sihat dengan aman,” katanya.
Kalam turut menggesa kerajaan Malaysia menggunakan saluran diplomatik ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau termasuk penguatkuasaan bersama, sistem amaran awal dan usaha pencegahan kebakaran hutan.
Sumber:ntv newws








