'Indonesia boleh marah jika terus dihina mengenai isu jerebu’ - Menteri Indonesia | The Reporter

‘Indonesia boleh marah jika terus dihina mengenai isu jerebu’ – Menteri Indonesia

Menteri Penyelaras Bidang Makanan Indonesia, Zulkifli Hasan mengulas isu jerebu dan kebakaran hutan yang mencetuskan kritikan negara jiran.
Tangkap layar video yang dikongsikan iNews memaparkan Zulkifli Hasan memberi amaran kepada negara jiran supaya tidak terus menghina Indonesia berhubung isu jerebu akibat kebakaran hutan.

Menteri Penyelaras Bidang Makanan Indonesia, Zulkifli Hasan memberi amaran kepada negara jiran supaya tidak terus menghina Indonesia berhubung isu jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah (karhutla) yang melanda negara itu.

Menurut beliau, meskipun rakyat Indonesia terkenal dengan sikap sopan santun, kesabaran mereka mempunyai batas sekiranya terus menerima penghinaan daripada pihak luar.

“Kerajaan bersama BNPB (Badan Nasional Pengurusan Bencana), sukarelawan dan kerajaan tempatan sedang bekerja keras memadamkan kebakaran.

“Kami memahami asap ini mengganggu penduduk di Sumatera, Kalimantan hingga ke luar negara.

“Namun, saya ingin mengingatkan negara jiran, bangsa Indonesia ini santun, tetapi jika terus dihina, Indonesia boleh marah dan jika marah, kesannya boleh menjadi sangat berbahaya,” katanya.

Zulkifli menjelaskan, kerajaan Indonesia kini menggerakkan pelbagai agensi termasuk BNPB, Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri), pihak berkuasa tempatan serta ribuan sukarelawan bagi menangani kebakaran tersebut.

Katanya, operasi pemadaman dilaksanakan melalui usaha di darat dan udara, termasuk operasi pengubahsuaian cuaca bagi membantu mengawal kebakaran yang semakin meluas.

Beliau turut mengakui bahawa asap daripada kebakaran berkenaan bukan sahaja menjejaskan penduduk di Sumatera dan Kalimantan, malah memberi kesan kepada masyarakat di negara jiran.

Bagaimanapun, Zulkifli meminta negara-negara terbabit supaya menjaga etika diplomasi ketika menyampaikan kritikan serta menghargai usaha petugas yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

Terdahulu, isu jerebu merentasi sempadan mencetuskan reaksi daripada beberapa pemimpin Malaysia dan Singapura yang menyuarakan kebimbangan terhadap pencemaran udara serta menggesa tindakan lebih tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Sugiono sebelum ini menegaskan bahawa negaranya memahami kesan jerebu yang dialami negara jiran dan sedang menjalankan kerjasama melalui saluran diplomatik serta teknikal bagi menangani krisis berkenaan.

Related Posts