Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin meluahkan rasa kesal apabila ceramahnya yang menyentuh isu generasi strawberi menyebabkan beliau menerima aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Beliau mendedahkan, susulan aduan berkenaan, dirinya diberikan tempoh tiga hari oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menjelaskan kenyataan yang dibuat ketika menyampaikan ceramah tersebut.
“Saya tak ada nak cerita strawberi. Saya jadi menyampah nak cerita. Saya kena SISPAA tajuk tu. Punyalah teruk masyarakat.
“Saya kena jawab. Saya diberi masa tiga hari oleh pihak SUK untuk jawab kenapa saya cakap tajuk tu. Malas cerita,” katanya menerusi rakaman video ceramah yang tular di media sosial.
Sebelum ini, Badli Shah menjadi perhatian selepas petikan ceramahnya mengenai generasi strawberi tersebar di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna.
Dalam ceramah berkenaan, beliau menyentuh sikap segelintir generasi muda yang disifatkan mudah terkesan apabila berdepan teguran, tekanan dan cabaran dalam kehidupan, khususnya di tempat kerja.
Beliau turut mengulas penggunaan istilah seperti toxic workplace dan burnout yang sering dikaitkan dengan tekanan pekerjaan, selain menekankan kepentingan membina ketahanan diri dalam menghadapi cabaran.
Untuk rekod, istilah generasi strawberi lazimnya digunakan bagi menggambarkan golongan muda yang dianggap mudah terkesan dengan tekanan atau kritikan, namun penggunaannya turut mengundang perdebatan kerana dilihat membuat generalisasi terhadap sesuatu generasi.








