'Menyesal tak selalu call dan jumpa Abah' - Cik B | The Reporter

‘Menyesal tak selalu call dan jumpa Abah’ – Cik B

Cik B anak Datuk Seri Vida meluahkan rasa menyesal selepas kehilangan bapa kandungnya, Mohd Amin Yasin.
Cik B anak Datuk Seri Vida meluahkan rasa menyesal selepas kehilangan bapa kandungnya, Mohd Amin Yasin.

Anak kepada usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida (DSV), Cik B menitipkan pesanan kepada orang ramai supaya menghargai ibu bapa selagi masih hidup, meskipun hubungan kekeluargaan pernah berdepan perselisihan faham atau perpisahan.

Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Mohd Amin, 21, berkata hubungan yang kurang baik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk seseorang berusaha memperbaiki keadaan dan kembali berhubung dengan insan tersayang.

Menurutnya, setiap individu perlu memberi ruang kepada ahli keluarga untuk berubah, selain cuba menyelesaikan sebarang perselisihan melalui perbincangan.

“Kalau relationship itu tidak bagus, kita cuba talk it out. Kalau kita tidak tahu apa orang itu rasa, mungkin dia dah berubah,” katanya.

Dalam pada itu, Cik B turut mengingatkan bahawa perceraian antara ibu bapa tidak seharusnya memutuskan hubungan mereka dengan anak-anak.

“Siapa yang masih ada mak ayah, walaupun dah cerai ke, dia tetap parents tau.

“Jadi call lah. Walaupun tak jumpa selalu kan, mungkin setahun jumpa dua tiga kali,” ujarnya.

Pesanan itu hadir ketika Cik B berdepan kehilangan bapa kandungnya, Mohd Amin Yasin, yang dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Lebih menyedihkan, pemergian Allahyarham berlaku pada hari yang sama dengan ulang tahun kelahiran ibunya, DSV, sekali gus menjadikan hari yang sepatutnya diraikan dengan kegembiraan bertukar duka.

Menerusi perkongsian di Threads sebelum ini, Cik B mengakui sukar menggambarkan perasaannya selepas menerima berita pemergian bapanya.

“Hari ni hari jadi Mama, dan hari ni juga Cik B dapat berita yang Abah dah meninggal dunia. Sejujurnya saya tak tahu nak rasa apa.

“Hari yang sepatutnya dipenuhi dengan kebahagiaan, tapi saya dalam kesedihan. Al-Fatihah,” luahnya.

Untuk rekod, Vida dan Allahyarham mendirikan rumah tangga pada tahun 2000 sebelum bercerai pada 2008.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, termasuk Cik B dan adiknya, Muhammad Eric Zaquan atau Kacak.

Dua lagi anak mereka, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie, meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di Ipoh, Perak pada 2013.

Related Posts