'Kalau kita bagi subsidi, kita mengajar rakyat malas' - MP Pasir Puteh | The Reporter

‘Kalau kita bagi subsidi, kita mengajar rakyat malas’ – MP Pasir Puteh

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh membahaskan pemberian subsidi dan bantuan rakyat di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh

Pemberian subsidi dan bantuan kewangan secara berterusan dikhuatiri boleh menyebabkan rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha meningkatkan pendapatan sendiri.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan seharusnya memberi lebih penekanan kepada bantuan yang mampu menjana pendapatan rakyat untuk jangka panjang berbanding sekadar mengagihkan wang tunai.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2027 benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukan sekadar menawarkan bantuan bersifat sementara.

“Kalau kita ada peruntukan rakyat, kita bagi kail, jangan kita bagi ikan.

“Kalau kita bagi subsidi, kita bagi ikan, dia mengajar rakyat ini malas. Kalau boleh kita mendidik, mentarbiah rakyat dalam negara kita supaya mereka ini mencipta sesuatu, supaya dia bekerja,” katanya ketika membahaskan belanjawan di Dewan Rakyat.

Pemberian wang hanya tempoh singkat

Beliau berkata, pemberian wang tunai mungkin hanya mampu menampung perbelanjaan penerima dalam tempoh singkat, sedangkan bantuan berbentuk peralatan boleh digunakan untuk menjana pendapatan selama bertahun-tahun.

“Kalau kita bagi duit, kalau dia boleh guna seminggu, seminggu habis. Tapi kalau kita bagi periuk, kuali, kita bagi mesin, kita bagi alat, dia boleh gunakan alat ini bertahun-tahun dan mungkin dia boleh bangkit dengan baik,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi turut berpandangan bahawa meskipun terdapat inisiatif seumpama itu dalam belanjawan kali ini, jumlah peruntukannya masih terlalu kecil.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak keperluan bantuan kewangan kepada golongan tertentu termasuk ibu tunggal yang mempunyai ramai anak, individu sakit serta orang kurang upaya yang berdepan kesukaran untuk bekerja.

Ketika perbahasan berlangsung, Ahli Parlimen Hulu Langat turut mencelah dengan meminta penjelasan sama ada beliau tidak bersetuju dengan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diumumkan Perdana Menteri.

Menjawab pertanyaan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu meneliti setiap bentuk bantuan yang diagihkan supaya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan masyarakat secara keseluruhan.

“Yang Berhormat, dengar dulu. Dengar dulu apa yang saya sebut.

“Kerajaan perlu kena kaji dengan teliti supaya apa yang kita agihkan dalam negara kita benar-benar ia memberi manfaat kepada rakyat, manfaat kepada masyarakat umum,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa terdapat golongan yang sememangnya memerlukan bantuan kerajaan dan perkara itu tidak seharusnya diketepikan dalam merangka dasar kebajikan negara.

Related Posts