Jumpa RM19,300 dekat lokasi kemalangan, lelaki jujur serah kepada polis | The Reporter

Jumpa RM19,300 dekat lokasi kemalangan, lelaki jujur serah kepada polis

Hamid Samat menerima sijil penghargaan daripada IPD Setiu atas kejujuran menyerahkan wang tunai RM19,300 yang ditemui berhampiran lokasi kemalangan.
Hamid Samat menerima sijil penghargaan daripada IPD Setiu atas kejujuran menyerahkan wang tunai RM19,300 yang ditemui berhampiran lokasi kemalangan. Gambar: Facebook IPD Setiu

Sikap jujur seorang lelaki yang menyerahkan wang tunai berjumlah RM19,300 selepas menemuinya berhampiran sebuah kenderaan terlibat dalam kemalangan mendapat penghargaan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu.

Lelaki berkenaan, Hamid Samat, menerima sijil penghargaan daripada pihak polis sebagai pengiktirafan terhadap kejujuran dan sikap amanah yang ditunjukkannya.

Menurut kenyataan IPD Setiu, wang tunai tersebut ditemukan di dalam sebuah beg plastik berwarna hijau berhampiran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

Ketika berada di lokasi kejadian untuk melihat keadaan kenderaan berkenaan, Hamid bertindak menyerahkan wang tersebut kepada pegawai bertugas di Balai Polis Sungai Tong untuk tindakan lanjut.

Hasil tindakan jujurnya itu, wang berjumlah RM19,300 berkenaan berjaya dipulangkan kepada waris yang berhak.

Susulan itu, satu majlis penyerahan sijil penghargaan diadakan di Pejabat Ketua Polis Daerah Setiu sebagai tanda pengiktirafan terhadap tindakan terpuji lelaki berkenaan.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain, Timbalan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Ahmad Badrul Hisyam Ghazali serta Ketua Polis Balai Sungai Tong, Inspektor Tengku Hazlan Tengku Hazmi.

Dalam pada itu, IPD Setiu menyifatkan tindakan Hamid sebagai contoh teladan kepada masyarakat dalam mengamalkan nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab.

Pihak polis turut berharap sikap terpuji itu menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk terus mengutamakan integriti serta membentuk masyarakat yang saling mempercayai.

Related Posts