'Saya sudah muak lihat umat Islam dihina hanya kerana agama mereka' - Bill Clinton | The Reporter

‘Saya sudah muak lihat umat Islam dihina hanya kerana agama mereka’ – Bill Clinton

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton berucap mengenai penghinaan terhadap umat Islam dan berkongsi kisah anak perempuannya membaca al-Quran.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton berucap mengenai penghinaan terhadap umat Islam dan berkongsi kisah anak perempuannya membaca al-Quran.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton mendedahkan anak perempuannya, Chelsea Clinton, pernah membaca keseluruhan al-Quran ketika berusia 15 tahun, sebelum menggalakkan beliau turut memahami kandungan kitab suci umat Islam itu.

Pendedahan tersebut dibuat ketika Clinton menyampaikan ucapan dalam satu perhimpunan antara agama di Koinonia Worship Center, Florida Selatan, pada Selasa lalu.

Menurut laporan media antarabangsa, Clinton berkongsi pengalaman berkenaan ketika mengecam diskriminasi terhadap umat Islam serta menyuarakan kebimbangan terhadap sikap tidak bertoleransi dan perpecahan dalam masyarakat Amerika Syarikat.

“Saya sudah muak melihat umat Islam dihina hanya kerana mereka beragama Islam,” katanya di hadapan hadirin yang terdiri daripada pelbagai komuniti agama.

Clinton berkata, anak perempuannya bukan sahaja membaca al-Quran dari awal hingga akhir ketika berusia 15 tahun, malah turut menggalakkannya membaca satu ayat yang menekankan kepentingan memahami dan menghormati manusia daripada pelbagai latar belakang.

“Anak perempuan saya membaca al-Quran dari awal hingga akhir ketika berusia 15 tahun. Dia kemudian berkata kepada saya, ‘Bacalah ini,” katanya.

Dalam ucapannya, Clinton turut merujuk ayat 13, Surah al-Hujurat yang menjelaskan bahawa Allah SWT menciptakan manusia daripada pelbagai bangsa dan suku kaum supaya mereka saling mengenali antara satu sama lain.

Beliau menekankan bahawa kepelbagaian bangsa, agama dan latar belakang seharusnya menjadi asas kepada persefahaman, bukannya alasan untuk merendahkan atau menghina pihak lain.

Clinton turut berpandangan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang individu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan penganut sesuatu agama.

Related Posts