Pemandu Porsche dipenjara lima hari, denda RM10,000 memandu berbahaya | The Reporter

Pemandu Porsche dipenjara lima hari, denda RM10,000 memandu berbahaya

Pemandu Porsche Cayenne hitam dipenjara lima hari dan didenda RM10,000 kerana memandu secara berbahaya.
Pemandu Porsche Cayenne hitam dipenjara lima hari dan didenda RM10,000 kerana memandu secara berbahaya.

Seorang lelaki yang tular di media sosial selepas memandu sebuah Porsche Cayenne hitam secara berbahaya di lebuh raya berhampiran Bandar Kinrara dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret pada Khamis.

Hukuman itu diputuskan Majistret Nur Natasya Mohtaruddin selepas tertuduh, Woo Hong Jiang, 56, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bermula semalam, selain melucutkan kelayakan lelaki berkenaan untuk memandu selama lima tahun.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Woo didakwa memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Porsche Cayenne secara berbahaya sehingga boleh mengancam keselamatan dirinya dan pengguna jalan raya lain.

Kesalahan itu dilakukan di Lebuhraya Puchong Bypass menghala ke Bukit Jalil, Serdang, kira-kira pukul 2.14 petang pada 18 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Maisarah Mohd Farid memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira tindakan pemanduannya yang boleh mengundang kemalangan.

Menurut pihak pendakwaan, rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular memperlihatkan tertuduh bertindak seperti pembuli jalan raya apabila memandu secara berbahaya sehingga membahayakan pengguna lain.

“Tertuduh wajar dikenakan hukuman denda tinggi dan penjara melebihi tempoh minimum supaya memberi pengajaran kepadanya dan orang awam agar tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan terhadapnya.

Sumber: Kosmo, Astro Awani

Related Posts