Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mempersoalkan keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam, sedangkan aplikasi lain seperti Google Maps, Instagram dan WhatsApp masih dibenarkan.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan perbezaan risiko keselamatan data antara aplikasi berkenaan, khususnya apabila Waze dan Google Maps dimiliki oleh syarikat induk yang sama.
Menurutnya, sekiranya larangan terhadap Waze dibuat atas kebimbangan data lokasi pengguna boleh terdedah kepada syarikat atau kerajaan Israel, penilaian keselamatan terhadap aplikasi lain juga wajar diperincikan.
“Jika kerajaan bimbang data lokasi terdedah kepada syarikat dan kerajaan Israel, adakah kerajaan juga akan melarang aplikasi Amerika Syarikat seperti Google Maps, Instagram dan juga WhatsApp?
“Apakah perbezaan risiko yang menyebabkan Waze dilarang, tetapi aplikasi lain dibenarkan?” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.
Pemilikan waze
Chow turut membangkitkan persoalan mengenai pemilikan Waze oleh Google sejak 2013, sekali gus meminta kerajaan menjelaskan asas penilaian risiko keselamatan antara kedua-dua aplikasi navigasi tersebut.
“Jika Waze diharamkan kerana katanya syarikatnya adalah di Israel, sedangkan Waze telah dimiliki oleh Google sejak tahun 2013, apakah perbezaan risiko keselamatan data antara Waze dengan Google Maps yang telah dimiliki oleh syarikat induk yang sama?” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai asas pelaksanaan larangan berkenaan serta keberkesanannya dalam melindungi keselamatan data negara.
Telefon peribadi penjawat awam
Beliau turut meminta penjelasan sama ada larangan tersebut melibatkan telefon peribadi penjawat awam dan penggunaan aplikasi berkenaan di luar waktu bekerja.
Terdahulu, kerajaan dilaporkan melarang penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menjelaskan, keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Menurut beliau, langkah berkenaan bertujuan melindungi maklumat sensitif kerajaan serta data peribadi rakyat daripada risiko penyalahgunaan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyarankan rakyat Malaysia supaya berhenti menggunakan Waze dan beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).








