Peningkatan mendadak jumlah pengguna aplikasi navigasi tempatan, TuJu, susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyebabkan aplikasi berkenaan mengalami gangguan teknikal.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya mengambil maklum aduan serta maklum balas orang ramai berhubung masalah yang dihadapi ketika menggunakan aplikasi tersebut.
Menurut LLM, pihaknya bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), sedang giat mengenal pasti punca gangguan selain melaksanakan kerja pemulihan bagi memastikan sistem kembali stabil.
“LLM memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna. LLM bersama penyedia aplikasi sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, LLM turut memberi perhatian terhadap maklum balas berkaitan fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan serta pengalaman pengguna bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan lebih cekap dan mesra pengguna.
Aplikasi TuJu yang diperkenalkan pada 26 November 2025 merupakan platform navigasi lebuh raya yang dibangunkan PCSB dengan kerjasama LLM.
Selain menyediakan maklumat perjalanan, aplikasi itu turut menawarkan maklumat keadaan trafik, kemudahan lebuh raya serta bantuan kecemasan kepada pengguna jalan raya.
LLM menjelaskan, usaha penambahbaikan tidak hanya tertumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan fungsi navigasi dan ketepatan maklumat bagi memenuhi keperluan pengguna.
Sehubungan itu, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta pihak berkaitan bagi memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, khususnya dari aspek keselamatan siber dan tadbir urus data.
“LLM menghargai kesabaran serta maklum balas orang ramai dan memberi jaminan bahawa isu yang dibangkitkan akan diteliti secara serius,” katanya.
Sebarang perkembangan mengenai status pemulihan dan penambahbaikan aplikasi akan dimaklumkan melalui saluran rasmi LLM dan TuJu.
Orang ramai yang ingin mengemukakan aduan atau maklum balas boleh berbuat demikian menerusi e-mel feedback@prosignalconsortium.my.








