Rafizi arah peguam mulakan proses saman terhadap Ramanan | The Reporter

Rafizi arah peguam mulakan proses saman terhadap Ramanan

Datuk Seri Rafizi Ramli arah peguam mulakan proses saman terhadap Datuk Seri R Ramanan susulan kenyataan dalam sidang media.
Datuk Seri Rafizi Ramli arah peguam mulakan proses saman terhadap Datuk Seri R Ramanan susulan kenyataan dalam sidang media.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli mengarahkan pasukan peguamnya memulakan proses saman terhadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan susulan beberapa kenyataan yang dibuat dalam sidang media, semalam.

Rafizi berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menyerahkan rakaman video dan transkrip sidang media berkenaan kepada pasukan peguamnya untuk penelitian lanjut.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama pasukan guamannya mendapati terdapat asas kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ramanan berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

“Saya telah berbincang dengan pasukan peguam saya dan mereka berpendapat ada asas kukuh untuk memulakan tindakan saman terhadap R Ramanan, kerana kenyataan-kenyataan dalam sidang media itu telah melanggar garis-garis yang ditetapkan oleh undang-undang fitnah di negara ini.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan proses saman terhadap R Ramanan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Rafizi mendakwa sidang media Ramanan turut mengesahkan bahawa Naib Presiden PKR berkenaan tidak pernah mengambil tindakan mahkamah terhadapnya berhubung dakwaan penerimaan suapan RM9.5 juta bagi menyelesaikan satu kes yang dikaitkan dengan mafia korporat.

Beliau turut mendakwa Ramanan mengulangi pendiriannya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berhubung tuduhan tersebut, meskipun sebelum ini pernah mencabar mana-mana pihak yang mengaitkannya supaya bersedia berdepan saman.

Persoal kenyataan Perdana Menteri

Susulan itu, Rafizi mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat minggu ini yang menurutnya memberikan gambaran bahawa Ramanan sudah mengambil tindakan mahkamah.

Katanya, beliau menyerahkan kepada Ahli Parlimen untuk menentukan tindakan lanjut, termasuk kemungkinan merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan tersebut.

Tuduhan dalam sidang media

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa Ramanan turut membuat pelbagai tuduhan terhadapnya dalam sidang media berkenaan, termasuk mengaitkannya dengan amalan rasuah.

Beliau menegaskan tindakan saman itu juga bertujuan membawa pertikaian antara mereka ke mahkamah, selain mendakwa Ramanan masih belum menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan sebelum ini.

“Jika R Ramanan enggan mengambil tindakan saman terhadap saya, akibat dari sidang media beliau semalam, ia membuka jalan untuk saya mengheret beliau ke mahkamah susulan tohmahan-tohmahan yang dibuat terhadap saya,” katanya.

Related Posts