Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan berjaya mengumpul RM180,000 hasil penjualan motosikal kesayangannya dan ikan ternakan sebagai usaha mendapatkan wang bagi memenuhi bayaran berjumlah RM300,000.
Menurut beliau, motosikal jenis Honda X-ADV miliknya berjaya dijual pada harga RM150,000, manakala hasil jualan keseluruhan ikan di dalam kolam ternakannya pula mencecah hampir RM30,000.
Akmal berkata, jumlah berkenaan bersama simpanan peribadi dan keluarganya dijangka mencukupi untuk melengkapkan bayaran RM300,000 menjelang minggu hadapan.
“Alhamdulillah, motor X-ADV kesayangan saya telah dapat dijual dengan harga RM150,000 dan jualan keseluruhan ikan dalam kolam saya telah mengumpul hampir RM30,000.
“Menjadikan jumlah keseluruhan jualan kepada RM180,000. Pada masa sama, dicampur dengan jumlah simpanan saya dan keluarga, insya-Allah boleh mencukupkan kepada RM300,000 menjelang minggu hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang tampil menghulurkan bantuan kewangan meskipun sebelum ini sudah meminta supaya tiada sumbangan diberikan kepadanya.
Menurut Akmal, jumlah sumbangan yang diterima setakat kenyataan itu dibuat telah mencecah RM173,733.61, termasuk daripada individu yang memasukkan wang terus ke akaunnya serta mereka yang datang sendiri untuk membantu.
Nafi dakwaan bersandiwara
Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan segelintir pihak yang menganggap tindakannya menjual aset sebagai satu sandiwara untuk mendapatkan derma daripada orang ramai.
Tegasnya, beliau sejak awal hanya berhasrat menjual aset miliknya bagi menampung jumlah bayaran diperlukan memandangkan simpanan sedia ada tidak mencukupi.
“Saya hanya berniat untuk menjual aset yang saya ada untuk mencukupkan jumlah yang perlu dibayar kerana simpanan saya yang sedia ada tidak mempunyai jumlah yang cukup.
“Tidak ada langsung niat untuk saya memohon derma selagi saya mampu untuk menanggungnya bersendirian,” jelasnya.
Sehubungan itu, Akmal memohon keizinan semua penyumbang untuk menginfakkan keseluruhan RM173,733.61 yang diterimanya kepada golongan lebih memerlukan.
Infak sumbangan orang ramai
Beliau memberi jaminan setiap sen sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada penerima yang memerlukan, selain berjanji memperincikan pengagihannya menerusi media sosial.
“Setiap sen duit anda yang diberikan kepada saya, akan saya serahkan kepada mereka yang lebih memerlukan.
“Segala perincian setiap sen yang akan diagihkan saya akan maklumkan di dalam media sosial saya,” katanya.
Pada masa sama, beliau sekali lagi meminta orang ramai supaya menghentikan sebarang sumbangan ke akaun peribadinya bagi memastikan proses pengagihan wang yang telah diterima dapat dilaksanakan dengan lancar.
Akmal turut menyatakan kesediaannya menjadi orang tengah untuk menyampaikan sumbangan berkenaan kepada golongan memerlukan sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan masyarakat.








