Isu lampau kembali diungkit, peguam dua anggota polis tampil jawab kecaman | The Reporter

Isu lampau kembali diungkit, peguam dua anggota polis tampil jawab kecaman

Peguam Kamal Hisham Jaafar tampil menjawab kecaman dan menjelaskan isu lampau yang kembali dibangkitkan.
Peguam Kamal Hisham Jaafar tampil menjawab kecaman dan menjelaskan isu lampau yang kembali dibangkitkan. Gambar: Facebook Kamal Hisham Jaafar.

Peguam Kamal Hisham Jaafar menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada kecaman di media sosial susulan tindakannya mewakili dua anggota polis yang didakwa menjadi mangsa kekasaran Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain.

Menurut Kamal Hisham, penglibatannya dalam kes berkenaan adalah atas dasar profesional bagi memastikan proses siasatan dan perbicaraan berjalan secara telus, selain bertindak sebagai peguam cara dalam tuntutan sivil berkaitan.

Beliau berkata, khidmat guaman itu diberikan secara pro bono atau percuma, sebagaimana beberapa kes lain yang pernah dikendalikannya sebelum ini.

“Serangan di media sosial tidak akan mengalih perhatian saya daripada tanggungjawab ini atau melemahkan semangat saya daripada membela orang-orang berpangkat rendah yang telah menjadi mangsa buli orang yang berjawatan tinggi.

“Terutama perbuatan si pelaku adalah merupakan perbuatan yang berulang tetapi sebelum ini telah dikaburkan dan terlepas begitu sahaja,” katanya.

Tidak jejaskan prinsip perjuangan

Kamal Hisham turut menegaskan bahawa kecaman terhadapnya tidak akan menjejaskan prinsip beliau untuk memperjuangkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Katanya, keadilan seharusnya ditentukan melalui proses mahkamah dan bukannya berdasarkan persepsi atau kecaman orang ramai di media sosial.

“Saya percaya bahawa keadilan hanya boleh ditentukan melalui mahkamah, bukan melalui kecaman awam.

“Warganet perlu berfikiran terbuka dan tidak terlalu taksub dengan mempercayai kempen-kempen di media sosial yang tidak menggambarkan imej sebenar si pelaku serta dibuat untuk mengalihkan isu teras sebenar kes,” katanya.

Isu lampau

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyentuh isu lampau yang kembali dibangkitkan terhadapnya dengan menjelaskan bahawa beliau pernah menerima pengampunan tanpa syarat daripada Sultan Ibrahim, yang ketika itu merupakan Sultan Johor.

Menurutnya, perkara berkenaan telah diumumkan secara rasmi oleh Istana Johor dan tidak sepatutnya terus dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Beliau turut menafikan dakwaan di media sosial yang mengaitkannya dengan sabitan jenayah serta menegaskan bahawa dirinya masih aktif menjalankan tugas sebagai peguam bela dan peguam cara.

Sementara itu, Kamal Hisham memaklumkan pasukan guamannya sedang mengumpulkan bukti berhubung kecaman, cercaan dan kenyataan berunsur fitnah yang didakwa melampaui batas undang-undang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, segala kritikan yang diterima dianggap sebagai sebahagian daripada cabaran dalam usaha mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan.

Related Posts