Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilaporkan maut, manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Sungai Padang, Perlis, awal pagi Selasa.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika keempat-empat anggota terbabit sedang menjalankan tugas di kawasan perairan berkenaan.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, anggota Unit Perisikan, Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian serta tahap kecederaan tiga lagi anggota yang terlibat masih belum dapat dipastikan setakat ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah serta seluruh warga Maritim Malaysia menerusi hantaran di Facebook rasmi agensi berkenaan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang meninggal dunia pada 27 Oktober 2026.
Dalam hantaran tersebut, Maritim Malaysia turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta para solihin.
“Semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang,” menurut hantaran itu.
Difahamkan, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua cahaya mata masing-masing berusia 14 dan 11 tahun.
Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah, hari ini selepas proses bedah siasat selesai.
Sumber: Harian Metro, Kosmo, Facebook Maritim Malaysia








