‘Tegur ahli Parlimen selekeh, ponteng pun dikira cari salah?’ - Dr. Rozaimi | The Reporter

‘Tegur ahli Parlimen selekeh, ponteng pun dikira cari salah?’ – Dr. Rozaimi

Prof. Dr. Rozaimi Ramle menjawab kritikan PU Syed berhubung teguran terhadap ahli Parlimen dan golongan artis.
Prof. Dr. Rozaimi Ramle menjawab kritikan PU Syed berhubung teguran terhadap ahli Parlimen.

Pendakwah, Prof. Dr. Rozaimi Ramle tampil menjawab kritikan PU Syed yang mendakwa beliau hanya mencari kesalahan orang lain serta menghasilkan podcast berbentuk provokasi.

Menerusi hantaran di Facebook, Dr. Rozaimi menegaskan bahawa teguran terhadap pemimpin dan ahli Parlimen merupakan sebahagian daripada tanggungjawab agama, sama seperti nasihat yang diberikan kepada golongan artis dan selebriti.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah menerima nasihat daripada mana-mana pihak, namun mengingatkan bahawa tanggungjawab menegur kesalahan tidak seharusnya tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.

“Saya tidak ada masalah untuk orang memberi nasihat kepada saya kerana bagi saya nasihat adalah tuntutan agama.

“Namun, PU Syed perlu juga ingat bahawa nasihat ini bukan kepada artis sahaja. Nasihat kepada umat secara umum dan nasihat kepada pemimpin juga adalah tuntutan agama,” katanya.

Kualiti perbahasan Dewan Rakyat

Terdahulu, menerusi podcast PROmediaTAJDID, Dr. Rozaimi menyuarakan kebimbangan terhadap kualiti perbahasan di Dewan Rakyat, selain mengkritik tindakan segelintir ahli Parlimen yang didakwa tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Beliau berpandangan bahawa wakil rakyat yang menerima gaji dan elaun daripada wang rakyat sepatutnya membuat persediaan secukupnya sebelum menghadiri persidangan Parlimen.

“Maksudnya, rakyat membayar kamu untuk kamu hadir, bukan hanya sekadar hadir untuk mendapatkan elaun dan gaji, mendapatkan segala privilege yang ada, tetapi perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Maksudnya, dia perlu memastikan diri dia layak, prepare masuk Parlimen, bukan masuk Parlimen tidur,” katanya.

Dalam podcast sama, beliau turut membangkitkan isu ketidakhadiran ahli Parlimen tanpa alasan munasabah dan mempersoalkan hukum menerima bayaran sekiranya mereka gagal menjalankan amanah yang diberikan rakyat.

“Yang kedua, yang lebih menyedihkan kita, ponteng Parlimen. Maksudnya, dia telah menerima satu mandat daripada rakyat. Tiba-tiba dia tak hadir. Tak hadir tanpa ada keuzuran yang syarie.

“Jangan sekali-kali kita normalisasikan perkara ini. Itu juga kena dibincangkan. Apa hukum wang yang dimakan oleh ahli Parlimen yang ponteng tanpa alasan?” soalnya.

Kritikan PU Syed

Bagaimanapun, kenyataan tersebut mendapat kritikan PU Syed yang mempersoalkan tindakan pihak berkenaan membangkitkan isu sedemikian dalam podcast.

“Mereka ini dah tak ada kerja gamaknya. Banyak-banyak isu yang boleh mereka labunkan, carilah isu yang lebih baik.

“Mereka ini tak lain hanya nak cari salah semata-mata. Mereka nak menampakkan mereka bijak, tetapi jika mereka senyap itu lebih baik buat mereka daripada podcast provokasi seperti ini,” tulis PU Syed.

Mengulas kritikan itu, Dr. Rozaimi mempersoalkan bagaimana teguran umum terhadap ahli Parlimen yang berhujah secara sambil lewa atau tidak hadir tanpa alasan boleh dianggap sebagai usaha mencari kesalahan orang lain.

“Saya hanya berikan teguran umum. Saya tegur ahli Parlimen yang berhujah dengan selekeh. Saya juga menegur ahli Parlimen yang ponteng kerja tanpa uzur. Adakah nasihat ini dikira mencari salah?

“Salah siapa yang saya bongkarkan secara spesifik? Ke pimpinan parti pujaan PU Syed memang kaki ponteng Parlimen tanpa uzur?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa podcast berkenaan berbentuk provokasi sedangkan teguran yang diberikan adalah bersifat umum.

“Jika nasihat umum dikira provokasi, maka adakah teguran dan nasihat PU Syed kepada artis selama ini juga dikira provokasi? Jika tidak, apa beza teguran saya dan teguran PU Syed?” katanya.

Tonton keseluruhan podcast

Pada masa sama, Dr. Rozaimi menggesa PU Syed menonton keseluruhan podcast tersebut bagi memahami konteks perbincangan yang turut menyentuh tanggungjawab pengundi, pemimpin dan penyokong parti politik.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab menegur kesilapan pemimpin demi kepentingan negara.

“Jangan hanya berani berdepan dengan artis dan selebriti tetapi diam menikus di hadapan politikus dan pimpinan parti politik sendiri,” tegasnya.

Related Posts