Kes pelajar serang guru guna kapak dipercayai akibat kemurungan | The Reporter

Kes pelajar serang guru guna kapak dipercayai akibat kemurungan

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak memberi penjelasan mengenai siasatan kes pelajar serang guru menggunakan kapak di Kuching.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak memberi penjelasan mengenai siasatan kes pelajar serang guru menggunakan kapak di Kuching. Gambar: Facebook Polis Sarawak.

Kejadian seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang disyaki menyerang guru wanita menggunakan sebilah kapak di sebuah sekolah swasta di Kuching, Sarawak, pada 21 Oktober lalu dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan yang dialami suspek.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, suspek yang ditahan pada hari kejadian masih menerima rawatan di hospital selain menjalani penilaian psikiatri oleh pakar perubatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, seorang guru wanita berusia 42 tahun mengalami kecederaan pada tangan kiri selepas dipercayai diserang menggunakan sebilah kapak.

“Mangsa mengalami kecederaan pada tangan kiri sehingga memerlukan 16 jahitan, namun kecederaan tersebut tidak melibatkan otot dan tulang,” katanya.

Mangsa dilaporkan telah mendapatkan rawatan di Hospital KPJ Kuching.

Rampasan barang kes

Susulan kejadian itu, polis merampas beberapa barang kes termasuk sebilah kapak, pisau, mercun yang diubah suai serta komputer dan gajet yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.

Kesemua barang rampasan telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Jabatan Kimia bagi tujuan pemeriksaan serta analisis lanjut.

Menurut beliau, seramai 38 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, termasuk pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan serta ibu bapa suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober lalu untuk penelitian serta arahan lanjut.

Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam penelitian pihak pendakwaan.

Sehubungan itu, Saifullizan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya melalui media sosial.

Beliau turut menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus serta berlandaskan undang-undang.

Related Posts