Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggunakan sebahagian dana sumbangan orang ramai yang diterimanya susulan kes saman membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, untuk membantu seorang kanak-kanak istimewa dikenali sebagai adik Marissa.
Bantuan itu melibatkan pembelian kerusi roda khas bernilai RM2,300 serta pemberian wang tunai RM5,000 kepada keluarga Marissa yang menghidap cerebral palsy sejak lahir.
Menerusi satu perkongsian, Dr Akmal memaklumkan bahawa Marissa selama ini menggunakan kerusi roda biasa untuk bergerak, namun keadaan postur badannya menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami ketidakselesaan.
“Adik Marissa adalah anak istimewa yang diduga dengan cerebral palsy sejak lahir.
“Selama ini adik Marissa bergerak menggunakan kerusi roda yang biasa dan ini menjadikan adik Marissa tidak selesa akibat postur badan yang tidak normal.
“Jadi kita carikan kerusi roda khas untuk adik Marissa ini,” katanya.
Serahan wang tunai
Selain kerusi roda, Dr Akmal turut menyerahkan wang tunai RM5,000 kepada bapa Marissa bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Bagaimanapun, bapa kanak-kanak itu pada mulanya menolak pemberian tersebut sebelum akhirnya bersetuju menerimanya selepas dipujuk oleh Dr Akmal.
Terdahulu, Dr Akmal dilaporkan menerima sumbangan orang ramai berjumlah RM173,733.61 setakat 23 Oktober lalu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Melaka yang memerintahkannya membayar RM300,000 kepada Teresa Kok dalam kes saman fitnah.
Bagaimanapun, Dr Akmal sebelum ini menegaskan beliau tidak mahu menggunakan wang sumbangan tersebut untuk membayar saman, sebaliknya memilih menjual motosikal Honda X-ADV miliknya pada harga RM150,000 serta ikan tilapia ternakannya yang menghasilkan hampir RM30,000.
“Moga wheelchair dan sumbangan tunai ini dapat membantu adik Marissa dan melegakan kesulitan yang dihadapi oleh ibu dan ayahnya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang menghulurkan bantuan.
“Terima kasih pada penyumbang semua. Moga menjadi asbab sumbangan ini untuk kita semua ke syurga,” ujarnya.








