Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan seorang lelaki berasal dari Bangladesh yang tular di media sosial telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara sah melalui proses naturalisasi pada tahun 2025.
JPN dalam satu kenyataan memaklumkan, pengesahan itu dibuat berdasarkan semakan rekod rasmi susulan penyebaran maklumat dan dakwaan di media sosial yang mempertikaikan kesahihan MyKad serta status kewarganegaraan dua individu.
Menurut jabatan itu, lelaki berkenaan memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan secara teratur dan mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
“Individu berkenaan juga merupakan suami kepada wanita warganegara Malaysia dan pemegang status Penduduk Tetap (PR) sejak tahun 2009,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, JPN turut memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes kedua membabitkan seorang wanita yang didakwa sebagai warga Pakistan.
Menurut JPN, siasatan dijalankan susulan aduan yang diterima dengan penelitian dibuat berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan bagi menentukan status sebenar individu terbabit.
“Perkembangan lanjut berhubung kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPN memahami keraguan dan kebimbangan masyarakat berhubung isu kewarganegaraan yang dibangkitkan di media sosial.
Kemukakan aduan
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau keraguan mengenai status kewarganegaraan seseorang digalakkan mengemukakan pertanyaan atau aduan melalui saluran rasmi JPN bagi membolehkan semakan sewajarnya dilakukan.
JPN turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial ketika membangkitkan persoalan berhubung status kewarganegaraan.
Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berintegriti serta berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.








