Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan menegaskan bahawa kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang menyebabkan masalah jerebu rentas sempadan bukanlah fenomena alam semula jadi, sebaliknya berpunca daripada tindakan manusia.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir selepas mengadakan pertemuan dua hala di bangunan Kementerian Luar Indonesia, Jakarta, pada Selasa.
Menariknya, Vivian menggunakan bahasa Melayu dan Indonesia ketika menjelaskan perbezaan antara fenomena iklim El Niño dengan kebakaran hutan yang menyebabkan pencemaran udara di rantau ini.
“El Niño adalah fenomena yang semula jadi. Tetapi, kebakaran hutan dan lahan disebabkan aksi manusia.
“Jadi kita ada tanggung jawab untuk menyelamatkan kesihatan semua warga negara di Indonesia dan Singapura. Oleh itu, saya berharap pemerintah Indonesia dan Singapura akan bekerja sama untuk mengatasi tantangan ini,” katanya.
Menurut Vivian, rakyat Indonesia khususnya yang tinggal di Kalimantan dan Sumatera merupakan golongan pertama serta paling terjejas akibat kebakaran hutan dan jerebu berkenaan.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap usaha kerajaan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto dalam menangani kebakaran hutan, termasuk pengorbanan ribuan anggota bomba dan petugas kecemasan yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
Dalam pada itu, Vivian menegaskan Singapura bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kebakaran hutan dan pencemaran jerebu, termasuk syarikat yang berdaftar di republik berkenaan.
Tindakan perundangan
Katanya, Singapura akan menggunakan segala kuasa perundangan dan kawal selia yang tersedia, selain mempertimbangkan langkah tambahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sementara itu, Indonesia dan Singapura turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas bersama bagi memperkukuh kerjasama menangani kebakaran hutan serta pencemaran jerebu rentas sempadan.
Pasukan berkenaan akan memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat, risikan kewangan dan pengumpulan bukti merentas sempadan bagi memastikan syarikat yang bertanggungjawab dapat dikenakan tindakan sewajarnya.
Arrmanatha berkata, kerjasama tersebut penting bagi memastikan pihak yang memperoleh keuntungan daripada aktiviti pembakaran hutan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang hanya kerana beroperasi merentasi sempadan negara.
Sumber: Kementerian Luar Singapura








