Ben-Gvir gesa tangkap pemimpin parti Arab Israel disyaki terima dana Qatar | The Reporter

Ben-Gvir gesa tangkap pemimpin parti Arab Israel disyaki terima dana Qatar

Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir menggesa penangkapan pemimpin parti Arab yang disyaki menerima dana Qatar.
Itamar Ben-Gvir menggesa penangkapan pemimpin parti Arab yang disyaki menerima dana Qatar. Gambar: Flash90

Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir menggesa penangkapan pemimpin parti-parti Arab Israel yang disyaki menerima pembiayaan asing dari Qatar bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya Parlimen berkenaan.

Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), gesaan tersebut dibuat pada Khamis susulan peningkatan sokongan terhadap parti-parti Arab dalam pilihan raya yang berlangsung pada Selasa lalu, sekali gus menyaksikan kedua-dua blok utama gagal memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

Ben-Gvir menerusi hantaran di platform X menggesa agensi keselamatan domestik Israel, Shin Bet supaya segera mengambil tindakan terhadap pemimpin parti Arab yang disyaki terlibat dalam penerimaan dana berkenaan.

Beliau turut menggesa penangkapan individu lain yang disyaki terlibat, termasuk tokoh yang mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin dan kumpulan berkaitan, sekiranya terdapat asas undang-undang untuk berbuat demikian.

Gesaan itu menyusul selepas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Israel, Hakim Mahkamah Agung Noam Sohlberg mengarahkan Shin Bet menyiasat dakwaan campur tangan asing melalui pembiayaan terhadap parti Arab, khususnya Parti Ra’am.

Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut mendakwa pilihan raya tersebut dicemari penyelewengan dan pembelian undi, selain menyifatkan isu pembiayaan asing itu sebagai skandal besar yang menjejaskan proses demokrasi negara berkenaan.

Berdasarkan keputusan awal ketika hampir 93 peratus undi dikira, blok Netanyahu memperoleh 53 kerusi, manakala gabungan pembangkang yang diketuai Gadi Eisenkot meraih 48 kerusi, kedua-duanya masih belum mencapai majoriti minimum 61 kerusi.

Sementara itu, dua gabungan utama parti Arab dijangka memperoleh 19 kerusi, sekali gus berpotensi memainkan peranan penting dalam menentukan pembentukan kerajaan baharu Israel.

Siasatan

Mengulas perkembangan tersebut, Eisenkot menegaskan sebarang dakwaan campur tangan asing perlu disiasat secara menyeluruh, namun memberi amaran supaya isu berkenaan tidak dieksploitasi oleh pihak berkepentingan untuk mempengaruhi proses pembentukan Parlimen baharu.

Dalam pada itu, polis Israel memaklumkan pihaknya akan menyiasat setiap aduan berkaitan integriti pilihan raya, namun kes penahanan tiga individu yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan undi sebelum ini disifatkan oleh jawatankuasa pilihan raya sebagai kes terpencil.

Sumber: Arab News, The Jerusalem Post, AFP

Related Posts