‘YB Tembak Babi’ kembali bertanding di DUN Pengkalan Batu | The Reporter

‘YB Tembak Babi’ kembali bertanding di DUN Pengkalan Batu

Norhizam Hassan Baktee
Datuk Norhizam Hassan Baktee atau ‘kembali bertanding di DUN Pengkalan Batu atas tiket BERSATU pada PRN Melaka. Gambar: Kosmo.

Pernah mencetuskan perhatian dengan gelaran ‘YB Tembak Babi’, Datuk Norhizam Hassan Baktee sekali lagi bakal mencuba nasib di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, kali ini sebagai calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Norhizam, 60, diumumkan sebagai salah seorang daripada lapan calon BERSATU yang bakal bertanding pada pilihan raya berkenaan, sekali gus menyaksikan beliau kembali mencuba nasib di kerusi yang pernah diwakilinya.

Pengumuman pencalonan itu dibuat oleh Naib Pengerusi BERSATU, Datuk Mohd Radzi Jidin, pada Majlis Pengumuman Calon BERSATU bagi PRN Melaka yang berlangsung di Baitul Tariq, Klebang, malam Khamis.

Pada pilihan raya kali ini, Norhizam dijadualkan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Siti Aisyah Mahmood dan calon Pakatan Harapan (PH), Jason Tze-Xi Nathan, bagi merebut kerusi DUN Pengkalan Batu.

Gelaran bukan penghalang

Norhizam yang juga Naib Ketua Bahagian BERSATU Hang Tuah Jaya berkata, beliau tidak melihat gelaran ‘YB Beliau’ atau ‘YB Tembak Babi’ yang pernah dikaitkan dengannya sebagai penghalang untuk kembali menawarkan khidmat kepada masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa faktor usia bukan penghalang untuk terus aktif dalam politik dan berhasrat memberikan tumpuan kepada isu asas penduduk, termasuk masalah banjir kilat, sistem perparitan, jalan raya serta peluang perniagaan kepada usahawan kecil.

Untuk rekod, Norhizam memenangi kerusi DUN Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 atas tiket DAP, sebelum bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Melaka 2021, namun tewas kepada calon BN, Datuk Kalsom Noordin.

Selain Norhizam, tujuh lagi calon BERSATU yang diumumkan ialah Nazri Ramli (Lendu), Mohd Zamri Abu Bakar (Gadek), Mejar (B) Abdullah Mahadi (Sungai Udang), Datin Seri Dr Asmah Samat (Pantai Kundor), Datuk Seri Mohammad Ali Mohamad (Klebang), Mohd Hamnaim Mohamad (Ayer Keroh) dan Muhammad Rabaie Ab Hamid (Bemban).

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

Related Posts