Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu, menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan (PH), khususnya anggota parti itu, supaya segera turun ke lapangan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata pembubaran itu menandakan bermulanya persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Sehubungan itu, jentera PH di semua peringkat perlu menggerakkan persiapan yang diperlukan.
Baca juga:
- ‘YB Tembak Babi’ kembali bertanding di DUN Pengkalan Batu
- PAS kecam pembatalan pendaftaran PN, bakal cabar keputusan di mahkamah
- Mohamad Sabu seru jentera PH turun padang hadapi PRN Melaka
Mohamad turut mengingatkan jentera supaya bekerja sebagai satu pasukan dengan penuh disiplin, amanah dan semangat kebersamaan, tanpa mengira besar atau kecil peranan masing-masing.
Menurutnya, pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin perlu diterapkan sepanjang gerak kerja politik dengan mengutamakan rahmat, keadilan dan kebaikan untuk semua. Beliau juga mengingatkan agar perbezaan kaum dan agama tidak dijadikan bahan untuk mencetuskan kebencian.
Beliau berharap usaha dan kerja keras seluruh jentera akan membawa kejayaan kepada PH dalam PRN Melaka.









