MCA mula mempergiat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan menggerakkan jentera parti serta memberi perhatian kepada pembangunan calon muda dan wanita yang berpotensi.
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sayap Pemuda dan Wanita MCA telah diarahkan supaya bersiap sedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya, termasuk melatih generasi pelapis yang berkemampuan tanpa mengetepikan mereka hanya kerana kurang senioriti atau pengalaman.
Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, persediaan perlu dilakukan lebih awal memandangkan sejarah pilihan raya negara menunjukkan sesebuah pentadbiran tidak semestinya menunggu sehingga genap lima tahun sebelum kembali mendapatkan mandat rakyat. Justeru, beliau menyifatkan MCA kini perlu berada pada tahap “gear lima” bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal.
Dalam menentukan strategi pilihan raya pula, Wee berkata MCA tidak mahu hanya mengejar jumlah kerusi yang banyak untuk ditandingi, sebaliknya memberi keutamaan kepada kawasan yang mempunyai peluang untuk dimenangi. Pada PRU15, parti itu memperoleh dua kerusi Parlimen daripada 44 kerusi yang ditandingi.
Baca juga:
- MCA masuk ‘gear 5’, mula bersiap hadapi PRU16
- ‘PRU-16 perlu disegerakan, ini kehendak rakyat’ – Zahid
- ‘UMNO tidak boleh bergantung pada mana-mana parti’ – Tok Mat
Beliau turut mengambil pencapaian MCA Johor sebagai contoh apabila parti itu bangkit selepas gagal memenangi sebarang kerusi pada PRU14 pada 2018, sebelum memperoleh empat kerusi dalam PRN Johor 2022 dan meningkat kepada lapan kerusi pada PRN Johor 2026. Menurutnya, perkembangan tersebut menunjukkan kepercayaan yang diberikan rakyat turut datang bersama tanggungjawab lebih besar untuk terus berkhidmat.
Mengulas soal kerusi Parlimen Kluang susulan cadangan UMNO Bahagian Kluang supaya MCA memberi laluan kepada parti berkenaan pada PRU16, Wee berkata perkara itu boleh dibincangkan di peringkat akar umbi. Bagaimanapun, sebarang keputusan mengenai pertukaran atau peminjaman kerusi perlu ditentukan oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).
Wee menegaskan bahawa apabila BN telah memutuskan individu yang akan bertanding di sesuatu kawasan, calon berkenaan perlu dianggap sebagai wakil rasmi gabungan tersebut tanpa mengira parti komponennya.
Sumber: Astro Awani, Facebook Wee Ka Siong









