Majlis Perbandaran Kluang (MPK) mengesahkan sistem paparan LED miliknya telah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dalam satu insiden penggodaman siber.
MPK dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut dengan kerjasama vendor bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan.
Menurutnya, langkah pemulihan turut dilaksanakan bagi memastikan keselamatan sistem dipertingkatkan sekali gus mengelakkan insiden sama daripada berulang.
“MPK ingin memaklumkan bahawa sistem paparan LED milik MPK telah mengalami insiden pencerobohan siber (penggodaman).
“Sehubungan itu, siasatan lanjut sedang dilaksanakan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengambil langkah pemulihan dan memperkukuh tahap keselamatan sistem,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, MPK memohon maaf kepada masyarakat Kluang atas segala kesulitan dan kebimbangan yang timbul susulan kejadian berkenaan.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius insiden tersebut dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penggodaman yang berlaku.
MPK juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan serta memburukkan nama baik dan imej pihak berkuasa tempatan berkenaan.








