'Belum ada orang putih komen English saya, yang komen semua Melayu' - Sanusi | The Reporter

‘Belum ada orang putih komen English saya, yang komen semua Melayu’ – Sanusi

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md. Nor mengulas kritikan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dan ungkapan ‘Don’t play play’.
Gambar: Facebook Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan bahawa keberkesanan komunikasi bukan hanya bergantung kepada ketepatan tatabahasa, sebaliknya kemampuan seseorang menyampaikan mesej sehingga difahami pendengar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan pengguna media sosial terhadap penggunaan bahasa Inggerisnya ketika menyampaikan ucapan pada SG4 Business & Economic Forum 2026, Isnin lalu.

Menurut Sanusi, sepanjang berurusan dengan wakil dan duta asing, beliau tidak pernah menerima kritikan mengenai penguasaan bahasa Inggerisnya, malah usaha berkomunikasi menggunakan bahasa tersebut dihargai.

“Belum ada ‘orang putih’ komen English saya, yang komen semua Melayu,” katanya.

Penyampaian mesej

Sanusi turut menjelaskan bahawa beliau pernah menggunakan bahasa Inggeris ketika berurusan dengan wakil Amerika Syarikat, Australia dan Kanada, selain menyelitkan beberapa perkataan Hindi ketika bertemu duta India. Katanya, pengalaman menjalankan pelbagai misi di 38 negara membuktikan bahawa mesej masih dapat disampaikan dengan baik walaupun penggunaan bahasa tidak semestinya sempurna.

Mengulas ungkapan ‘Don’t play play’ yang menjadi perhatian ketika forum berkenaan, Sanusi menjelaskan bahawa ia sekadar gurauan ketika membangkitkan isu kelewatan pengeluaran unsur nadir bumi (REE) di Kedah yang dikaitkan dengan dasar Kerajaan Persekutuan dan alasan keselamatan negara.

Beliau menyifatkan sesetengah pihak terlalu serius sehingga gagal memahami unsur jenaka dalam penyampaiannya. Menurutnya, ungkapan tersebut merupakan bahasa percakapan harian yang digunakan secara berseloroh dan tidak sepatutnya ditafsirkan secara keterlaluan.

‘Keyboard warrior’

Dalam pada itu, Sanusi turut menyindir pengkritik yang didakwa hanya berani memberikan komen melalui papan kekunci serta sentiasa mencari kelemahan dalam setiap penyampaiannya. Beliau berpandangan bahawa kritikan tetap akan timbul tanpa mengira sama ada beliau menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

Beliau juga menegaskan bahawa komunikasi juga boleh berlaku tanpa percakapan, termasuk melalui sikap berdiam diri. Beliau turut mempertahankan penggunaan dialek Sik dalam pertuturannya sambil berseloroh bahawa meskipun berbahasa Inggeris mengikut loghat daerah asalnya, beliau tetap mampu menjadi Menteri Besar Kedah.

Sumber: Urus Setia Penerangan Darul Aman

Related Posts