Sultan Pahang gesa kerajaan nilai semula operasi UNHCR di Malaysia | The Reporter

Sultan Pahang gesa kerajaan nilai semula operasi UNHCR di Malaysia

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa kerajaan menilai semula operasi UNHCR di Malaysia.
Gambar: Facebook Kesultanan Pahang.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa Kerajaan Persekutuan membuat penilaian menyeluruh terhadap operasi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, termasuk mempertimbangkan kemungkinan menamatkan operasinya sekiranya tidak lagi memenuhi kepentingan negara.

Baginda bertitah, langkah itu perlu dipertimbangkan secara serius selain memperkukuh kawalan sempadan dan memperkemas pengurusan pelarian bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Lambakan warga asing

Menurut baginda, isu lambakan warga asing termasuk keberadaan pelarian yang tidak diurus secara teratur perlu diberikan perhatian serius kerana berpotensi menimbulkan pelbagai cabaran terhadap keselamatan, kesejahteraan sosial, kebersihan persekitaran dan ketenteraman awam.

“Kehadiran sesebuah organisasi antarabangsa seharusnya membantu meringankan beban negara, bukannya mewujudkan keadaan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan rakyat tempatan.

“Jangan sampai atas nama kemanusiaan, kedaulatan negara dipandang ringan; dan jangan pula atas nama perlindungan, undang-undang negara seolah-olah kehilangan keutamaannya.

“Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara yang berperikemanusiaan, tetapi tidak sesekali boleh menggadaikan kedaulatan dan keselamatannya atas nama kemanusiaan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Pahang menegaskan setiap individu yang berada di negara ini wajib menghormati undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa tanpa mengira asal usul atau latar belakang.

Sehubungan itu, baginda mahu tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang.

Baginda turut mengingatkan bahawa tanggungjawab utama kerajaan adalah mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung keluhuran undang-undang serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Related Posts