Selepas tular berhubung tindakannya melakukan ritual agama lain, Aliff Daniel Adli, 21, tampil melafazkan ikrar taubat (Istitabah) secara terbuka dalam satu majlis di Shah Alam, hari ini.
Turut melafazkan ikrar taubat ialah ibunya, Rohizayanti Ramli, 52, dan adiknya, Nur Ranea Ezreen Adli, 19, yang diminta berbuat demikian kerana gagal menasihati Aliff Daniel.
Ibu kepada Aliff Daniel, membuat pengisytiharan taubat secara terbuka selepas mengakui kelemahan dan kelalaiannya dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik serta membimbing anaknya.
Pengisytiharan itu dibuat sempena Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) Aliff Daniel yang berlangsung di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam.
Kesal dengan kegagalan sebagai seorang ibu
Dalam lafaz pengisytiharannya, Rohizayanti meluahkan rasa kesal atas kecuaian dan kegagalannya sebagai seorang ibu sehingga menurutnya, anaknya terpengaruh dengan fahaman serta amalan yang bercanggah dengan pegangan akidah Islam.
“Bahawasanya saya dengan penuh rasa kesal dan rendah diri mengakui atas segala bentuk kecuaian, kealpaan dan kegagalan saya dalam menunaikan amanah serta tanggungjawab hakiki sebagai seorang ibu.
“Saya mengakui telah terleka daripada memelihara fitrah asal dan membimbing anak kandung saya sehingga menyebabkan dia terjebak dan terpengaruh mengamalkan fahaman serta doktrin yang terpesong daripada pegangan akidah Islam yang benar,” katanya.
Menurutnya, kelemahan itu berpunca daripada kekurangan ilmu agama, kealpaan terhadap tuntutan duniawi serta kegagalannya memantau pemikiran, pergaulan dan persekitaran anaknya.
Sehubungan itu, dia berikrar untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat, kembali berpegang teguh kepada ajaran Islam berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta mempertingkatkan kefahaman agama melalui kelas pengajian yang sahih dan bertauliah.
Azam untuk berubah
Dia turut berazam untuk membersihkan diri dan keluarganya daripada sebarang amalan yang menyeleweng daripada ajaran Islam, selain berusaha membimbing anaknya melalui pendekatan kasih sayang, kesabaran dan kerjasama dengan pihak berkuasa agama.
“Saya memohon agar pihak berkuasa agama, ahli keluarga dan masyarakat dapat membimbing, memantau dan membantu saya dalam proses penghijrahan dan pemulihan ini.
“Semoga Allah SWT menerima taubat nasuha saya, mengampuni segala keterlanjuran saya sebagai seorang ibu dan membuka pintu hidayah yang luas buat anak saya,” ujarnya.
Pada akhir pengisytiharan itu, dia menegaskan bahawa ikrar taubat berkenaan dibuat atas kesedaran sendiri tanpa sebarang paksaan atau ancaman daripada mana-mana pihak.
Dia turut melafazkan dua kalimah syahadah serta menyatakan keazamannya untuk terus memperbaiki diri, mendalami ilmu agama dan menjaga maruah keluarga serta agama Islam.








