Jemaah yang menunaikan solat Zohor di Masjid Jamek Kuala Klawang, Negeri Sembilan pada 30 Oktober lalu diwajibkan mengqada semula solat berkenaan selepas diputuskan tidak sah oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Fauzdinaim Badaruddin berkata, keputusan itu dibuat susulan isu kegagalan mendirikan solat Jumaat di masjid berkenaan pada tarikh tersebut.
Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bermuzakarah pada 3 November lalu telah meneliti dan mempertimbangkan isu berkenaan sebelum menetapkan hukum berkaitan kewajipan solat Jumaat serta pelaksanaan solat Zohor sebagai gantinya.
“Selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa berkenaan, jemaah yang hadir di Masjid Jamek Kuala Klawang pada 30 Oktober 2026 dan mendirikan solat Zohor di masjid berkenaan diwajibkan mengqada solat Zohor kerana solat Zohor yang telah didirikan adalah tidak sah,” katanya.
Beliau menjelaskan, solat Jumaat merupakan kewajipan fardu ain ke atas setiap lelaki Muslim yang mukalaf, merdeka dan bermastautin, manakala meninggalkannya dengan sengaja tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak adalah berdosa.
Katanya, individu yang memenuhi syarat wajib solat Jumaat tidak dibenarkan menggantikannya dengan solat Zohor selagi solat Jumaat masih boleh didirikan dalam tempoh waktu Zohor.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa solat Zohor yang ditunaikan tanpa keuzuran syarie ketika kewajipan solat Jumaat masih tertanggung ke atas seseorang adalah tidak sah dan wajib diqada semula.
Dalam pada itu, Fauzdinaim turut menasihatkan umat Islam di Negeri Sembilan supaya sentiasa memelihara kewajipan solat Jumaat dan tidak mengambil mudah ketetapan syarak.
Beliau turut mengingatkan semua pihak yang diberikan amanah menguruskan masjid dan surau supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, selain mengutamakan ibadah serta mengelakkan perselisihan bagi memastikan syiar Islam terus terpelihara.








