KBS tak lulus HYROX KL 2026 selagi tajaan syarikat alkohol tak ditarik balik | The Reporter

KBS tak lulus HYROX KL 2026 selagi tajaan syarikat alkohol tak ditarik balik

Kenyataan rasmi KBS berhubung tajaan syarikat minuman beralkohol dalam penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026.
Gambar: KBS

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan meluluskan penganjuran acara HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan daripada syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pendirian tegas itu dibuat susulan penularan tangkapan layar pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai Official Beer Partner bagi acara berkenaan.

Menurutnya, acara tersebut dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember depan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

“Untuk rekod, permohonan penganjuran acara tersebut sedang diproses tetapi belum diluluskan dan KBS tidak memberikan sebarang kelulusan atau penyaluran dana kepada acara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan, Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat (Edisi Ketiga, 2024) melarang individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan produk tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja, mempromosi atau mengiklankan produk mereka dalam acara sukan yang diluluskan atau disokong KBS.

Mohammed Taufiq turut mengingatkan bahawa semua syarikat yang ingin menganjurkan acara sukan perlu mendapatkan lesen daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia, selain memberikan komitmen untuk mematuhi Kod Sukan Selamat.

Katanya, berdasarkan Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), syarikat yang terlibat dalam aktiviti sukan tanpa lesen boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Beliau menegaskan, peraturan tersebut terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, termasuk syarikat berkaitan tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol tanpa mengira jenama atau sasaran pengiklanan.

“KBS tidak akan berkompromi dalam memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta,” tegasnya.

Related Posts