Polis menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya seorang remaja perempuan meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di sebuah pusat beli-belah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, hasil siasatan mengesahkan tiada kejadian seumpama itu berlaku di mana-mana pusat beli-belah sekitar Kajang.
Menurutnya, pihak polis menerima satu laporan kira-kira jam 7.50 malam pada Rabu berhubung hantaran di Facebook menerusi akaun ‘Luahan Rakyat Malaysia’ yang menyebarkan dakwaan tidak benar berkenaan.
“Siasatan yang dijalankan mengesahkan bahawa tiada sebarang kejadian sedemikian berlaku di mana-mana pusat beli-belah di sekitar daerah Kajang,” katanya.
Naazron berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 233, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu tanpa menyemak kesahihannya sehingga menimbulkan kegusaran dan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.
Hantaran palsu
Terdahulu, tular di media sosial satu laporan mendakwa seorang wanita berusia 21 tahun meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di sebuah pusat beli-belah di Kajang.
Laporan itu mendakwa mangsa sedang menunggu bapanya membeli kasut sebelum ditemukan tidak memberikan sebarang tindak balas. Kejadian turut dikaitkan dengan dakwaan kebocoran arus elektrik pada kerusi urut berkenaan.








