Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Dajjal sebagai keterlaluan.
Menurut Azalina, Ahli Parlimen Marang itu sepatutnya menggunakan ungkapan lebih sesuai bagi menyuarakan bantahan atau ketidaksetujuan terhadap sesuatu perkara tanpa menggunakan istilah yang boleh membawa kepada tafsiran ekstrem.
“Kalau dia memanggil Dajjal, saya rasa dialah kena berikan sebabnya. Saya tak boleh komen kerana saya bukan pakar agama. Kalau saya tak suka, banyak lagi perkataan saya boleh pakai kalau tak suka, tapi janganlah sampai ekstrem,” katanya.
Azalina turut mempersoalkan penggunaan istilah berkenaan yang menurut pemahamannya berkait rapat dengan tanda-tanda akhir zaman.
“Saya tengok definisi Dajjal tu adalah tanda yang turun masa nak kiamat. Adakah dia tahu bila kiamat nak berlaku?” soalnya.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan mengkritik pemeteraian CSA dengan menyifatkannya sebagai satu ‘pendekatan Dajjal’ kerana dianggap sebagai perbuatan mengkhianati amanah. Beliau turut menegaskan bahawa hasil negara merupakan hak rakyat, sama ada diperoleh secara langsung mahupun tidak langsung.
Minggu lalu, Kerajaan MADANI memeterai CSA bersama 13 Ahli Parlimen, terdiri daripada enam wakil BERSATU, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada MUDA serta enam Ahli Parlimen Bebas. Melalui perjanjian itu, mereka bersetuju menyokong pentadbiran kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam pengundian penting seperti Belanjawan 2027.
Kenyataan terdahulu Abdul Hadi Awang
Dalam tulisan Minda Presiden PAS bertajuk ‘Tempias Dajjal Sudah Tiba’, Abdul Hadi menyifatkan CSA sebagai pendekatan politik yang menurutnya mengutamakan usaha mengekalkan kuasa berbanding menunaikan amanah kepada rakyat.
“CSA adalah pendekatan Dajjal pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan bertanggungjawab mengagihkan manfaat hasil negara kepada seluruh rakyat tanpa mengira sokongan politik, dan tanggungjawab itu tidak sepatutnya memerlukan sebarang perjanjian atau aku janji terlebih dahulu.
Sumber: Berita Harian








