Abdul El-Sayed cipta sejarah, senator Islam pertama AS | The Reporter

Abdul El-Sayed cipta sejarah, senator Islam pertama AS

Abdul El-Sayed, senator Islam pertama Amerika Syarikat yang memenangi pilihan raya Senat Michigan 2026.
Abdul El-Sayed, senator Islam pertama Amerika Syarikat yang memenangi pilihan raya Senat Michigan 2026.

Calon Parti Demokrat, Abdul El-Sayed mencipta sejarah apabila memenangi pilihan raya Senat Amerika Syarikat (AS) bagi negeri Michigan selepas menewaskan pencabarnya daripada Parti Republikan, Mike Rogers, sekali gus menjadi individu beragama Islam pertama dipilih menganggotai dewan berkenaan.

Memetik laporan Anadolu Agency (AA), kemenangan El-Sayed diumumkan oleh Decision Desk HQ (DDHQ) pada awal pagi Rabu, selepas beliau mengatasi bekas anggota Dewan Perwakilan AS itu dalam pilihan raya pertengahan penggal yang berlangsung pada Selasa.

Ketika meraikan kemenangan bersama penyokongnya di Detroit, El-Sayed turut meluahkan rasa syukur dengan ungkapan yang mencuri perhatian.

“Malam ini, kita boleh menukar Insya-Allah kepada Alhamdulillah,” katanya ketika menyampaikan ucapan kemenangan berkenaan.

El-Sayed yang merupakan bekas pegawai kesihatan awam turut menyatakan rasa bangga dan berbesar hati apabila berpeluang berdiri di hadapan penyokongnya sebagai bakal senator Michigan.

Beliau sebelum ini mendapat sokongan beberapa tokoh progresif berpengaruh, termasuk Senator Bernie Sanders, sepanjang kempen pilihan raya tersebut.

Kemenangan El-Sayed turut menyaksikan Parti Demokrat berjaya mempertahankan kerusi Senat Michigan yang dikosongkan susulan persaraan Senator Gary Peters.

Sementara itu, Rogers yang mendapat sokongan Presiden Donald Trump berusaha membuat kemunculan semula selepas tewas tipis dalam pilihan raya Senat Michigan pada 2024.

Pertandingan tersebut menjadi tumpuan kerana Parti Republikan tidak pernah memenangi kerusi Senat AS di Michigan sejak 1994.

Sepanjang kempen, El-Sayed turut memperjuangkan isu kos sara hidup, akses penjagaan kesihatan dan pembaharuan pembiayaan politik, selain menyuarakan pendirian terhadap dasar luar AS, khususnya berkaitan bantuan ketenteraan kepada Israel.

Kemenangan yang diumumkan DDHQ itu menandakan pencapaian bersejarah bagi perwakilan masyarakat Islam dalam politik AS, dengan El-Sayed dijangka memulakan tugas sebagai senator apabila penggal baharu Kongres bermula pada Januari 2027.

Related Posts