70 hari menanti jawapan, keluarga mangsa di Nepal bergelut teruskan kehidupan | The Reporter

70 hari menanti jawapan, keluarga mangsa di Nepal bergelut teruskan kehidupan

Bencana alam di Nepal menyebabkan 54 rakyat Malaysia dilaporkan hilang sejak 26 Ogos 2026.
Bencana alam di Nepal menyebabkan 54 rakyat Malaysia dilaporkan hilang sejak 26 Ogos 2026. Gambar: AFP

Sudah 70 hari berlalu sejak 54 rakyat Malaysia dilaporkan hilang dalam bencana alam di Nepal, namun nasib mereka masih belum diketahui sehingga kini, sekali gus menyebabkan keluarga mangsa terus dihimpit kesedihan dan kesulitan kewangan.

Hani Othman, isteri kepada Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe Fakhrul, meluahkan keperitan yang ditanggung keluarga mangsa apabila kehilangan insan tersayang bukan sahaja meragut kebahagiaan, malah menyebabkan mereka terputus sumber pendapatan.

Menurut Hani, sebahagian mangsa merupakan ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung isteri dan anak-anak, namun kehilangan mereka menyebabkan waris terpaksa menanggung pelbagai komitmen kewangan tanpa kepastian mengenai nasib orang tersayang.

“Kami bukan sahaja kehilangan insan yang paling kami sayang dan cinta. Kami kehilangan tiang tempat berteduh. Kami hilang punca pendapatan.

“Dan kini, kami terpaksa pula menanggung beban hutang dan komitmen mereka seorang diri,” luahnya menerusi hantaran di media sosial.

Sumber kewangan

Lebih menyukarkan keadaan, Hani mendakwa akaun bank individu yang masih berstatus hilang tidak dapat diakses oleh waris, sedangkan wang simpanan berkenaan amat diperlukan untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.

Katanya, usaha mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan waris mengakses akaun tersebut turut memerlukan kos guaman yang tinggi, sekali gus membebankan keluarga yang sudah kehilangan sumber pendapatan utama.

“Nak lantik peguam untuk mohon perintah mahkamah bagi akses akaun tersebut, nampak mudah untuk bercakap. Tapi nak dapatkan khidmat peguam perlukan kos ribuan ringgit.

“Duit deposit peguam, yuran pemfailan, kos dokumentasi… dari mana keluarga nak korek duit sebanyak itu sedangkan punca rezeki utama dah hilang dan akaun bank terkunci rapat?” soalnya.

Dalam masa sama, Hani turut membangkitkan kesukaran mendapatkan pampasan insurans berikutan ketiadaan sijil kematian, memandangkan kesemua mangsa masih dikategorikan sebagai orang hilang.

Menurutnya, keluarga sebelum ini dimaklumkan mengenai kemungkinan pihak berkuasa Nepal mengeluarkan sijil anggapan kematian selepas 45 hari, namun sehingga hari ke-70, mereka masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi.

Hani turut mempersoalkan nasib keluarga selepas tamat tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan yang menurutnya diberikan bagi sesetengah hutang, selain komitmen kewangan lain yang perlu terus dijelaskan.

“Bagaimana seorang suri rumah dengan anak-anak kecil nak menyuap nasi ke mulut anak esok hari bila akaun bank suami terkunci, kos peguam tak mampu nak bayar, pampasan insurans tersekat, dan sumber nafkah terputus sama sekali?” luahnya.

Mengimbas kejadian pada 26 Ogos lalu, Hani turut berkongsi imej satelit sebelum dan selepas bencana yang memperlihatkan kemusnahan di sepanjang jajaran Sungai Bhote Koshi, dari sempadan Gyirong, Timure hingga Syabru Besi.

Menurutnya, kawasan yang sebelum ini menempatkan bangunan, jalan raya dan penempatan penduduk kini dilitupi runtuhan batu serta lumpur tebal, termasuk kawasan yang dipercayai menjadi lokasi terakhir 54 rakyat Malaysia berkenaan dikesan.

Teruskan kehidupan

Walaupun masih mengharapkan keajaiban agar insan tersayang ditemukan, Hani menegaskan keluarga mangsa juga perlu meneruskan kehidupan dalam keadaan penuh ketidakpastian.

Sehubungan itu, beliau merayu agar nasib waris diberikan perhatian sewajarnya, khususnya dalam urusan kewangan, perundangan dan tuntutan insurans yang masih tergantung.

“Jangan biarkan kami menanggung derita tergantung ini bersendirian. Kami perlukan kepastian, kami perlukan pembelaan, dan kami perlukan sistem yang ada belas ihsan untuk mereka yang terperangkap dalam status ‘hilang’.

“Doakan kami terus kuat. Doakan ada sinar keadilan buat 54 mangsa dan seluruh keluarga yang sedang diuji ini,” katanya.

Related Posts