‘Aku mohon maaf' - Shuib akhirnya buka mulut isu dengan Jep Sepahtu | The Reporter

‘Aku mohon maaf’ – Shuib akhirnya buka mulut isu dengan Jep Sepahtu

Shuib tampil memberikan penjelasan dan memohon maaf kepada Jep Sepahtu menerusi rakaman video.
Shuib tampil memberikan penjelasan dan memohon maaf kepada Jep Sepahtu menerusi rakaman video.

Pelawak dan usahawan, Shuib tampil memberikan penjelasan berhubung kemelut membabitkan dirinya dengan Jep Sepahtu selepas hampir seminggu memilih untuk berdiam diri susulan kontroversi yang tercetus.

Menerusi satu rakaman video, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Jep melalui WhatsApp pada jam 1.51 pagi, 9 Oktober lalu, tidak sampai 24 jam selepas kenyataan Jep dimuat naik.

Menurutnya, mesej berkenaan dihantar bagi memohon maaf atas kekhilafan dirinya bersama Mamat kerana menyindir Jep menerusi Dol’s Podcast dalam episod bersama Azlee Senario.

“Saya telah pun WhatsApp Jep dengan penuh rendah diri, memohon maaf atas kekhilafan saya dan juga Mamat kerana menyindir dia.

“Saya kira dia telah pun menerima WhatsApp tersebut dan mungkin telah membacanya. Wallahu a’lam. Saya penuh kesal dan memohon maaf kepada dia berulang kali,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib mengakui melalui tempoh yang sukar apabila menerima pelbagai kecaman, penghinaan dan makian yang turut melibatkan isterinya, Watie, anak-anak, keluarga serta perniagaannya.

Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat Bubble Bee kini sedang melaksanakan pembayaran ansuran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan bayaran selama 10 bulan telah dibuat sejak Januari 2026 dan berbaki 14 bulan lagi.

Mohon hentikan segala kecaman

Shuib turut merayu orang ramai supaya menghentikan segala kecaman, andaian dan tindakan memboikot perniagaannya kerana ia merupakan sumber pendapatan keluarga selain digunakan untuk melangsaikan hutang syarikat.

“Janganlah kerana marahkan saya, isteri, anak-anak dan keluarga saya terlibat. Mereka tidak bersalah, saya yang bersalah dalam perkara ini.

“Dan janganlah juga kerana benci kepada saya, perniagaan saya ini diboikot, sedangkan perniagaan saya sah dan halal,” ujarnya.

Shuib kenang persahabatan

Pada penghujung rakaman, Shuib menyampaikan permohonan maaf secara terbuka kepada Jep sambil mengenang persahabatan dan perjalanan kerjaya mereka yang terjalin hampir 20 tahun.

“Jep, kalau kau tengok video ini, aku mohon maaf. Aku mohon maaf. Aku mohon maaf.

“Kita kenal dekat 20 tahun. Hampir separuh daripada hidup aku. Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telah kita bina selama hidup.

“Aku minta maaf atas kekhilafan aku dan juga keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya,” katanya dalam nada sebak.

Shuib turut mendoakan agar segala urusan Jep bersama isteri dan keluarganya dipermudahkan, selain berharap kemelut antara mereka dapat diselesaikan dengan baik.

Related Posts