Seorang pemilik restoran India di London yang sebelum ini mencetuskan kontroversi susulan kenyataannya mengenai Gaza kini merayu bantuan orang ramai selepas mendakwa perniagaannya terjejas akibat kecaman dan ulasan negatif di internet.
Harman Singh Kapoor, pemilik restoran Singh’s Dining, mendakwa premisnya berdepan masalah kewangan sehingga berisiko ditutup selepas menerima pelbagai ulasan negatif di platform Google.
Kontroversi itu tercetus selepas Kapoor menerusi sebuah video mempersoalkan mengapa sebuah bangunan di Gaza masih belum dimusnahkan oleh tentera Israel.
Kenyataan tersebut mengundang kecaman pengguna media sosial yang menyifatkan tindakannya sebagai tidak sensitif terhadap penderitaan penduduk Palestin.
Susulan kontroversi berkenaan, restoran miliknya dilaporkan menerima banyak ulasan negatif, sekali gus menjejaskan reputasi perniagaan tersebut.
Menerusi hantaran di platform X pada 12 Oktober lalu, Kapoor merayu sokongan orang ramai sambil mendakwa mata pencariannya kini terancam.
Beliau turut mendedahkan bahawa restorannya mempunyai tunggakan sewa dan berdepan kemungkinan tindakan undang-undang daripada pemilik premis.
Kapoor juga mendakwa sistem ulasan Google tidak berlaku adil terhadap perniagaannya kerana ulasan positif didakwa disekat, manakala ulasan negatif terus dipaparkan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa restorannya masih beroperasi meskipun berdepan tekanan kewangan dan kecaman berterusan.
Sumber: Al Jazeera, India Today








