‘Bonda Tun bisik ini mungkin persembahan terakhirnya bersama saya’ - Siti Nurhaliza | The Reporter

‘Bonda Tun bisik ini mungkin persembahan terakhirnya bersama saya’ – Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza mengenang kenangan bersama Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Gambar: Facebook Siti Nurhaliza

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meninggalkan kesan mendalam buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang menyifatkan kenangan bersama Allahyarhamah akan kekal dalam ingatannya.

Menerusi hantaran di media sosial, Siti Nurhaliza berkongsi antara momen paling menyentuh hati ketika mereka membuat persembahan bersama apabila Allahyarhamah sempat membisikkan bahawa ia mungkin menjadi persembahan terakhir mereka.

Menurut Siti, kata-kata tersebut membuatkan dirinya gagal menahan sebak sehingga menitiskan air mata sepanjang sesi latihan bersama Allahyarhamah.

“Kenangan bersama Bonda Tun Hasmah takkan hilang dari ingatan saya selamanya. Semasa persembahan ini Bonda Tun bisik pada saya, ini mungkin persembahan terakhirnya bersama saya.

“Kerana itulah saya tak dapat menahan air mata dan terus menangis sepanjang latihan bersama arwah. Saya dapat rasakan pelukan erat seorang ibu, saya pun rasa tak nak lepaskan pelukan erat itu,” katanya.

Penyanyi tersohor itu turut menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang tokoh wanita yang penyayang, lemah lembut serta memiliki sifat keibuan yang tinggi.

Baca juga:

Siti berkata, pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar buat negara selepas banyak mencurahkan jasa dan sumbangan khususnya dalam bidang kesihatan, kebajikan serta pembangunan wanita sepanjang hayatnya.

Dalam hantaran berasingan, Siti turut berkongsi kehadirannya bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah serta berkesempatan bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

“Bonda Tun akan selalu dalam doa Siti sepertimana doa Siti buat Mak dan Abah Siti,” katanya.

Related Posts