Tular beberapa hantaran di media sosial berhubung penganjuran konsert penyanyi gospel Amerika Syarikat (AS), Israel Houghton di Sabah mencetuskan pelbagai reaksi dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap perkara itu terutama selepas maklumat mengenai tarikh, lokasi serta harga tiket konsert berkenaan tersebar secara meluas.
Menurutnya, setakat ini polis menerima dua laporan berkaitan penganjuran konsert terbabit dan akan terus memantau perkembangan selain mengambil keterangan daripada pihak tertentu.
“Setakat ini ada dua laporan polis yang kita terima. Kita akan terus membuat pemantauan dan mengambil keterangan daripada pihak-pihak tertentu berkaitan dengan konsert ini.
“Kita juga menasihatkan mereka supaya mengambil perhatian serius terhadap sensitiviti dalam kalangan masyarakat pada masa kini,” katanya.
Jauteh berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang permohonan daripada kerajaan negeri untuk memberikan pandangan mengenai penganjuran konsert tersebut.
Malah, berdasarkan maklumat diterima pihaknya, kerajaan negeri juga masih belum menerima permohonan rasmi daripada penganjur meskipun hebahan berkaitan acara berkenaan sudah tersebar di media sosial.
Katanya, sekiranya permohonan rasmi dikemukakan dan pandangan PDRM diminta, pihaknya akan menasihatkan supaya konsert itu tidak diadakan buat masa ini dengan mengambil kira sensitiviti semasa.
“Memandangkan keadaan sensitiviti sekarang, kita akan menasihati supaya konsert ini tidak diadakan dahulu.
“Kita menasihati kerajaan negeri yang menerima permohonan ini untuk membuat keputusan dan pemakluman kepada pihak pemohon,” katanya.
Baca juga:
- Polis Sabah nasihat konsert penyanyi AS tidak diadakan buat masa ini
- Bella kongsi keadaan Syed Saddiq selepas terima berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah
- Lelaki maut akibat rabies di Kedah, kes pertama dilaporkan sejak 1998
Kekeliruan nama
Menurut Jauteh, antara perkara yang dibangkitkan dalam reaksi masyarakat ialah kekeliruan berkaitan nama artis terbabit serta hantaran lama Houghton yang menyatakan sokongannya terhadap Israel.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tumpuan utama polis adalah terhadap aspek sensitiviti masyarakat dan memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
“Yang penting di sini adalah kita melihat kepada sensitiviti masyarakat dan ketenteraman masyarakat.
“Kita akan berusaha memastikan mana-mana sensitiviti yang boleh menimbulkan sesuatu yang menyebabkan ketenteraman tergugat, maka kita akan mengambil tindakan bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung isu berkenaan dan polis akan terus memantau perkembangan semasa.
Sebelum ini, hebahan jualan tiket yang tular mendakwa konsert jelajah Houghton dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu pada Oktober.
Penganjuran itu kemudian mendapat perhatian susulan hantaran Instagram Houghton pada 8 Oktober 2023 yang mengandungi kenyataan “I stand with Israel” kembali dikongsi pengguna media sosial.

Firdaus Wong persoal kewajaran konsert
Sementara itu, pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung turut mempersoalkan kewajaran penyanyi berkenaan mengadakan persembahan di Malaysia susulan pendiriannya terhadap Israel.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Firdaus berkata, hak setiap rakyat untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing sememangnya termaktub dalam Perlembagaan.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada individu yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Israel wajar dialu-alukan ke negara ini.
Firdaus turut mendakwa terdapat kumpulan Kristian yang tidak bersetuju dengan pendirian Houghton berhubung Israel.
Sumber: Buletin TV3, Sayang Sabah









