Pemain kebangsaan, Safawi Rasid dilaporkan terpaksa meninggalkan kem latihan skuad Harimau Malaya di China lebih awal susulan urusan keluarga.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran Facebook Harimau Malaya yang memaklumkan tonggak Kuching City FC berkenaan perlu pulang bagi menyelesaikan urusan peribadinya.
“Tonggak Kuching City FC, Safawi Rasid dilaporkan terpaksa meninggalkan kem latihan skuad Harimau Malaya di China disebabkan urusan keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, hantaran tersebut tidak memperincikan urusan keluarga yang menyebabkan pemain berkenaan terpaksa meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan.
“Semoga dipermudahkan segala urusan Safawi Rasid dan dapat kembali memperkuatkan pasukan kebangsaan pada masa hadapan,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, menurut laporan Makan Bola, Safawi mencuri perhatian apabila gol menariknya ketika menentang Gangwon FC dipilih sebagai gol terbaik Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) minggu keempat.
Pemain sayap itu turut meledak dua gol untuk membantu Kuching City FC meraih kemenangan 2-0, selain dinobatkan pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan penilaian 8.9.








